Wednesday, June 1, 2011

*** KESEDIHAN TEMAN PALING BERERTI***

Setiap orang ada masa sedih dan gembira. Semua orang tahu itu lumrah kehidupan. Saya sendiri sering ditimpa kesedihan. Kesedihan itu ada kalanya membuatkan saya seperti terperangkap dalam sebuah lembah yang dalam dan terasing. Jiwa pun menjadi resah, fikiran bercelaru, kepala berserabut dan segala macam simptom yang mengharu-birukan pun menyerang.



Ketika itulah hilangnya semangat atau istilah popularnya ‘down’ terjadi . Lebih memburukkan keadaan badan turut menanggung beban sehingga mengakibatkan demam, hilang selera makan dan tidur pun tidak lagi lena. Semua itu pernah saya lalui. Namun, sebagai seorang mukmin, kesedihan seperti itu tidak boleh dibiarkan berpanjangkan. Kita mesti berbuat sesuatu demi mengusirnya sebelum ia bertambah parah yang seterusnya merencatkan kebangkitan semula.



Berhenti Bersedih





Ketika ditimpa kesedihan, ambilah sedikit masa untuk bermuhasabah. Muhasabah akan menjadi langkah pertama untuk meredakan rasa sedih itu. Bersedih hanya akan memadamkan api semangat, melemahkankan tekad dan membekukan jiwa. Kesedihan itu ibarat penyakit demam yang membuatkan tubuh tidak berdaya. Mengapa demikian? Kerana kesedihan hanya memiliki daya yang menghentikan dan bukan menggerakkan. Ia sama sekali tidak bermanfaat bagi hati. Bahkan, kesedihan merupakan suatu yang paling disukai musuh kita, tidak lain syaitan. Musuh itu selalu berusaha membuatkan seorang hamba bersedih untuk menghentikan setiap langkah dan niat baiknya.



“Sesungguhnya pembicaraan rahsia itu adalah daripada syaitan supaya orang-orang mukmin berdukacita.” (al-Mujadilah: 10)



Bersedih juga tidak diajarkan syariat dan tidak bermanfaat. Kesedihan dapat membuat hidup terasa seperti hilang arah dan membinggungkan.



“Dan janganlah kamu bersikap lemah dan jangan (pula) bersedih hati.” (Ali Imran: 139)



Kesedihan ibarat racun berbisa bagi jiwa yang dapat menyebabkan melemah, krisis ghirah dan galau dalam menghadapi hidup. Semua itu akan menjurus kepada sikap acuh tidak acuh kepada kebaikan, ketidakpedulian kepada kebajikan, kehilangan semangat untuk meraih kebahagiaan dan kemudian akan berakhir dengan kebinasaan. Rasulullah s.a.w sendiri selalu memohon perlindungan daripada Allah Taala agar dijauhkan daripada kesedihan dengan berdoa,



“Ya Allah, aku berlindung kepadaMu daripada rasa sedih dan dukacita.”





Hakikatnya, menjadi suatu kewajipan kita untuk berdoa dan meminta kepadaNya dalam keadaan lapang mahupun sempit, dalam keadaan senang mahupun susah. Berdoa tidak boleh bermusim, mesti berterusan setiap hari.



“Atau siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesusahan apabila dia berdoa kepadaNya.” (An-Naml: 62)





Berzikir (ingat) kepada Allah adalah syurgaNya di bumi. Maka, sesiapa yang tidak pernah memasukinya di dunia, dia tidak akan dapat memasuki syurgaNya di akhirat kelak. Berzikir kepada Allah merupakan penyelamat jiwa daripada pelbagai kerisauan, kegundahan, kekesalan dan kekecewaan. Ia merupakan jalan pintas paling mudah untuk meraih kemenangan dan kebahagian hakiki. Cubalah mengamalkannya, nescaya akan mendapatkan kesembuhan daripada macam-macam penyakit hati.



Cuba hayati pepatah Arab yang berbunyi, “Jika seutas tali sudah sangat meregang, nescaya ia akan segera putus! Bermaksud: Jika masalah sudah kritikal, maka tunggulah jalan keluar.



Juga Syair Arab yang berbunyi,



Betapa banyak jalan keluar yang datang setelah rasa putus asa



dan betapa banyak kegembiraan datang setelah kesusahan.



Siapa yang berbaik sangka pada Pemilik ‘Arasy dia akan memetik



manisnya buah yang dipetik di tengah-tengah pohon berduri.





Kesedihan Yang Tidak Dapat Dielakkan



Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan pada tahap tertentu kesedihan memang tidak dapat dielakkan dan seseorang dipaksa bersedih kerana suatu kenyataan. Berkenaan hal ini, disebutkan bahawa para ahli syurga ketika memasuki syurga akan berkata,



“Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan dukacita daripada kami.” (Fathir: 34)





Dalil ini menunjukkan ketika di dunia mereka pernah bersedih kerana mereka tentu saja pernah ditimpa musibah yang terjadi di luar kawalan mereka. Ketika kesedihan itu terjadi dan hati tidak lagi mampu melawannya, maka kesedihan itu sebenarnya akan mendatangkan pahala. Hal itu terjadi disebabkan kesedihan seperti itu merupakan sebahagian daripada musibah atau ujian. Maka, ketika seorang hamba ditimpa kesedihan hendaklah dia berusaha melawannya dengan doa-doa dan cara-cara lain yang memungkinkan untuk mengusirnya.



Kesedihan yang terpuji adalah kesedihan yang disebabkan oleh kegagalan menjalankan suatu ketaatan atau disebabkan tersungkur dalam jurang kemaksiatan. Kesedihan seorang hamba yang disebabkan oleh kesedaran bahawa ketaatan dirinya kepada Allah Taala sangat kurang. Kesedihan itu menandakan bahawa hatinya hidup dan terbuka untuk menerima hidayah dan cahayaNya.





Teruskan Kehidupan





Marilah kita belajar daripada mereka yang dipilih Allah taala untuk diteladani. Mereka ini juga tidak terlepas ditimpa kesedihan. Namun, perhatikanlah bagaimana kesedihan itu dihadapi. Mereka tidak lemah kerana mereka telah benar-benar faham apa itu kesedihan yang sebenar.





Ketika bersembunyi daripada buruan musyrikin Mekah di dalam sebuah gua, Rasulullah s.a.w memberitahu Abu Bakar r.a bahawa Allah Taala bersama mereka. Serta-merta rasa aman, tenteram dan tenang pun datang menyelimutinya.



Nabi Ibrahim a.s dilempar ke dalam api besar, baginda mengucapkan, ‘Hasbunallah wa ni’mal wakil’, lalu Allah Taala pun menjadikan api yang panas itu dingin seketika. Baginda pun tidak terbakar. Demikian halnya yang dilakukan Rasulullah dan para sahabatnya tatkala mendapat ancaman pasukan musyrikin dan penyembah berhala, mereka juga mengucapkan, ‘Hasbunallah wa ni’mal wakil.’



Imam Ahmad bin Hanbal pernah dipenjara dan diseksa, tetapi beliau kemudian menjadi imam salah satu madzhab fiqh yang muktabar. Ibnu Taimiyyah pernah di penjara, tetapi di penjara itulah beliau banyak menghasilkan karya-karya agung. As-Sarakhsi pernah dikurung di dasar sumur selama bertahun-tahun, tetapi di tempat itulah beliau mengarang buku sebanyak dua puluh jilid.



Ketika Ibnu Atsir dipecat daripada jawatannya, beliau berjaya menyelesaikan karya besarnya yang berjudul Jami’ul Ushul dan an-Nihayah, salah satu buku paling terkenal dalam ilmu hadis. Begitu juga dengan Ibnu Jauzi, ketika beliau pernah diusir dari Baghdad beliau menguasai qiraah sab’ah. Malik ibn ar-Raib menderita penyakit kritikal, namun beliau mampu melahirkan syair-syair yang sangat indah dan setanding dengan karya-karya para penyair besar zaman Abbasiyah.



Sebagian besar ulama salafus soleh dan generasi awal umat ini adalah orang-orang yang jika dinilai dari sudut harta benda, termasuk dalam golongan fakir miskin. Mereka tidak memiliki harta yang berlimpah, rumah yang mewah, kenderaan yang hebat dan sebagainya. Walaupun demikian, mereka mampu menjadikan kehidupan ini lebih bermakna dan membuat diri mereka serta masyarakat lebih bahagia. Hal ini tidak lain adalah disebabkan mereka sentiasa memanfaatkan setiap kurniaan Allah di jalan yang benar. Dengan itu pula umur, waktu, dan kemampuan mereka menjadi penuh berkat.



Sibukkan Diri



Sebenarnya, seseorang mudah diserang kesedihan apabila dia hanya berpeluk tubuh tanpa berbuat apa-apa. Ketika itu, fikiran akan menerawang entah ke mana-mana tanpa dapat dikawal. Oleh itu, bunuhlah setiap waktu kosong dengan ‘senjata’ kesibukan. Bangkitlah sekarang juga. Buatlah sesuatu yang bermanfaat bagi diri dan orang lain untuk mengusir kekosongan itu.



Terhentinya seorang mukmin daripada melakukan pekerjaan adalah kelalaian. Kekosongan adalah musuh yang membunuh dan kelapangan adalah sebuah kemalasan. Kebanyakan orang yang selalu gundah dan hidup dalam kerisauan adalah mereka yang terlalu banyak waktu lapang dan sedikit pekerjaan.



Oleh sebab itu, kita mesti sentiasa bergerak, bekerja, mencari, membaca, menulis, bertasbih atau mengunjungi sahabat. Gunakan waktu sebaik-baiknya dan jangan biarkan ada seminit pun yang terbuang sia-sia! Ingat, sehari saja yang kosong tanpa bergerak, nescaya kegundahan, keresahan, godaan dan bisikan syaitan akan mudah menyelinap ke dalam tubuh! Apabila sudah demikian, maka kita akan menjadi lapangan permainan para syaitan.



Kesimpulannya, Jangan mudah bersedih. Apabila kita bersedih gara-gara satu musibah, maka musibah yang satu itu akan menjadi berlipat ganda. Kalau bersedih kerana kesengsaraan yang kita alami, bukankah kesedihan itu hanya menambah kesusahan kita saja? Atau ketika kita bimbang terjadinya sesuatu yang tidak disukai, ia akan mudah terjadi pada kita. Akhir kalam, saya ingin tinggalkan pembaca dengan firman Allah Taala untuk renungan bersama.



“Setiap bencana yang menimpa di bumi dan dirimu sendiri, semuanya telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami mewujudkannya. Sungguh, itu mudah bagi Allah. Agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang hilang daripadamu dan tidak pula terlalu gembira terhadap apa yang diberikanNya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan membanggakan diri.” (al Hadid: 22-23)





Waallahua’lam

No comments: