Friday, September 20, 2013

BERPECAH KEPADA 73 GOLONGAN.



Salah Faham Hadith: "Umatku Berpecah Kepada 73 Golongan"

Hadith "umatku berpecah kepada 73 golongan" adalah sebuah hadith yang sangat popular di kalangan majoriti umat Islam. Sebahagian aliran pemikiran menjadikan hadith ini sebagai hadith pokok dalam menjustifikasikan kebenaran aliran mereka. Di samping itu, ia juga seringkali digunakan sebagai senjata ampuh untuk menjatuhkan kelompok yang membawa aliran berbeza seterusnya berlakulah gejala saling kafir-mengkafir dan saling sesat-menyesatkan antara satu sama lain.

Tanpa menafikan terdapatnya pertikaian terhadap kesahihan hadith tersebut di kalangan ahli hadith, tulisan ini bukan bertujuan membincangkan status hadith daripada sudut ilmu mustolah hadith. Sebaliknya apa yang menjadi fokus perbincangan dalam tulisan ini ialah untuk mengupas salah faham yang timbul berkaitan hadith ini sebagaimana yang sering terjadi di kalangan orang awam dan agamawan. Demikian sesebuah hadith perlu difahami secara benar pada kedua-dua sudutnya - manhaj al-Talaqqi (hanya mengambil sumber yang boleh dipercayai) dan al-Istidlal (memahami/mengemukakan dalil dengan cara yang benar).

Sebelum mengemukakan salah faham tersebut, berikut dilampirkan matan hadith tersebut:

إِنَّ بني إسرائيلَ تفرقَتْ على ثنتينِ وسبعينَ مِلَّةً ، وتفْتَرِقُ أمتي على ثلاثٍ وسبعينَ ملَّةً كلُّهم في النارِ إلَّا ملَّةً واحدَةً ، قال من هِيَ يا رسولَ اللهِ ؟ قال : ما أنا عليه وأصحابي

Maksudnya: "Sesungguhnya Bani Israel telah berpecah kepada 72 golongan, manakala umatku pula akan berpecah kepada 73 golongan. Kesemua mereka di neraka kecuali satu golongan sahaja. (Para sahabat) bertanya, "Siapakah (golongan yang tersebut) ya Rasulallah? Rasulullah menjawab, "golongan yang aku dan para sahabatku berada di atasnya" [Hadith riwayat al-Imam al-Tirmizi]

Beberapa salah faham terhadap hadith ini bolehlah dikategorikan kepada lima, iaitu:

1) Mengambil angka 73 secara literal

Terdapat sebahagian golongan yang menggunakan hadith ini sebagai hujah, mengambil angka 73 yang disebut dalam hadith secara literal bahawa memang ada jumlah yang tepat yang menunjukkan jumlah golongan yang menyeleweng di akhir zaman dan jika dicampur semuanya, jumlahnya ialah 73. Sehingga bukan sedikit mereka yang cuba menyenaraikan golongan-golongan tersebut dan cuba menjumlahkan mereka menjadi 73. Malangnya, sehingga kini tiada siapa yang dapat memastikan senarai yang dilakukannya adalah yang paling tepat mengikut kehendak hadith. Buktinya, setiap kali sesebuah senarai dikeluarkan, pasti ada saja golongan sesat baru yang menyeleweng yang terkeluar daripada kebenaran al-Quran dan al-Sunnah.

Sebetulnya, angka 73 perlu disikapi sebagai isyarat yang menunjukkan "jumlah yang banyak" sahaja. Hal ini memang suatu yang masyhur dalam bahasa 'arab bahkan kaedah ini digunakan dalam beberapa tempat di dalam al-Quran. Contohnya ialah seperti angka 70 yang digunakan dalam surah al-Taubah sebagai ekspresi yang menunjukkan jumlahnya yang banyak:

"(Golongan munafiq itu) sama sahaja engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun bagi mereka. Jika engkau (wahai Muhammad) meminta ampun bagi mereka tujuh puluh kali (sekalipun) maka Allah tidak akan sekali-kali mengampunkan mereka..." [Surah al-Taubah: ayat 80]

Adakah ayat ini bermaksud jika Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam meminta ampun sebanyak 70 kali tidak akan memberi kesan terhadap golongan munafiq sebaliknya jika Rasulullah memohon sebanyak 71 kali bagi golongan munafiq itu nescaya Allah akan mengampunkan mereka? Tentu sekali tidak! Ia hanyalah angka yang umum untuk menunjukkan jika Rasulullah memohon ampun berapa banyak kali pun untuk golongan munafiq tersebut, nescaya Allah tidak akan mengampunkan mereka. Samalah halnya dengan angka 73 yang disebutkan dalam hadith ini, di samping angka 72 dan 73 adalah bertujuan menunjukkan bahawa perpecahan di kalangan umat Islam lebih banyak daripada bani israel terdahulu. Ia juga mungkin juga bermaksud jumlahnya lingkungan 70-an dan angkanya bukanlah angka yang absolut.

2) Beranggapan bahawa 73 golongan ini – kecuali satu – adalah kafir belaka

Jika kita merujuk semula kepada teks hadith tersebut, didapati Rasulullah menggunakan perkataan “umatku akan berpecah...”. Ini menunjukkan bahawa kesemua 73 golongan tersebut adalah termasuk dalam umat nabi Muhammad. Dalam erti kata lain, mereka kesemuanya adalah muslim!

Dengan memahami hakikat ini, dapat juga disimpulkan bahawa setiap golongan yang sudah diwartakan sebagai kafir adalah tidak termasuk dalam skop perbincangan dalam hadith ini. Sebagai contoh, mereka yang meyakini bahawa guru mereka adalah Allah yang berjalan di muka bumi, atau adanya nabi setelah nabi Muhammad, atau percaya adanya al-Quran lain selain al-Quran yang diturunkan kepada nabi Muhammad. Golongan yang jelas kekufuran mereka ini tidak termasuk dalam 73 golongan tersebut jadi hadith ini bukanlah berkaitan isu "Islam vs kufr", tetapi ia adalah berkenaan perbezaan yang berlaku dalam komuniti umat Islam yang mendokong asas-asas rukun Iman dan Islam.

Setelah mengetahui 73 golongan ini adalah tergolong di kalangan umat Islam, sayugia diingatkan mereka juga mempunyai hak sebagai umat Islam secara umum seperti memberi salam, memenuhi undangannya, memberi nasihat kepadanya apabila diminta, mendoakannya apabila terbersin, menziarahinya ketika sakit, dan mengikuti jenazahnya ke perkuburan (hadith riwayat al-Imam Muslim). Dan apabila disebut muslim, mereka juga terikat dengan pertalian persaudaraan Islam sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Hujurat ayat 10:

Maksudnya: "Sesungguhnya orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat"

3) Berpendapat majoriti daripada umat adalah sesat belaka

Salah faham yang seterusnya ialah seringkali mereka yang berhujah dengan hadith ini mengeluarkan pendangan bahawa hadith ini menunjukkan majoriti umat Islam akan jatuh ke dalam kancah kesesatan, kecuali sedikit. Hujahnya, di dalam hadith tersebut disebutkan bahawa 72 daripada 73 golongan kesemuanya di neraka. 72 daripada 73 bukankah satu peratusan yang besar, maka benarlah bahawa kebanyakan umat Islam akan tersesat di akhir zaman, lantas kebanyakan mereka akan berada di neraka?

Persoalannya, bagaimanakah kita mahu selaraskan pendapat ini dengan kenyataan bahawa Allah mempunyai rahmat yang cukup luas? Sedangkan umat nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam seperti yang disebut nabi sendiri adalah umat yang dirahmati (inna ummati ummatan marhumah - hadith riwayat al-Imam Abu Daud al-Imam Ahmad)? Bukankah ini saling bercanggah antara satu sama lain? Oleh itu bagaimana menjawab persoalan ini?

Jawapannya mudah sahaja, sekalipun kumpulan-kumpulan yang tersesat ini sekian banyak jumlahnya, sebenarnya mereka hanya dianggotai oleh jumlah yang kecil sahaja. Menurut Dr Yasir Qadhi, kajiannya terhadap kumpulan Jahmiyyah di dalam tesis masternya mendapati hanya seramai tidak lebih daripada 100 orang yang menganggotai kumpulan al-Jahmiyyah pada zaman kegemilangannya. Sebab itu jika diteliti sekalipun ulama-ulama besar dalam 'aqidah memperkatakan secara meluas perihal kesesatan al-Jahmiyyah, bahkan al-Imam al-Bukhari dalam kitab sahihnya meletakkan bab “kitab al-Tauhid wa al-Radd ‘ala al-Jahmiyyah”, namun sebenarnya kumpulan ini hanyalah kumpulan yang kecil saja, cuma mereka diwakili oleh golongan aktivis yang lantang bersuara ketika itu yang membawa pandangan yang pelik yang menyelisihi kebenaran al-Quran dan al-Sunnah.

Oleh yang demikian, bukanlah janggal untuk melihat mereka yang mengaku sebagai ‘golongan yang selamat’ menganggap mereka yang ‘selamat’ ini hanyalah beberapa kerat sahaja manusia di belahan muka bumi ini. Atau mereka berpendapat dalam komuniti mereka misalnya, hanya ada dua tiga orang sahaja yang tergolong dalam "golongan yang selamat". Ini ternyata sekali sebuah pendapat yang salah dan keliru!

4) Berpendapat 72 golongan yang sesat PASTI ke neraka

Sebahagian ulama' hadith berpendapat tambahan dalam hadith “...kesemuanya di neraka kecuali satu” adalah sebuah tambahan yang dhaif (lemah, tidak boleh dijadikan hujah). Antara yang berpendapat sedemikian ialah al-Imam al-Syawkani. Namun begitu, sekiranya sahih sekalipun ia tidak sepatutnya mencetuskan kontroversi apatah lagi salah faham bahawa majoriti umat ini pasti akan masuk neraka belaka kecuali sedikit. Renungkan hujah di bawah untuk merungkai persoalan ini.

Kita meyakini bahawa di dalam al-Quran dan al-Sunnah, Allah berjanji akan memberikan ganjaran kepada sesiapa yang berbuat kebaikan. Ganjaran ini mesti dan pasti akan diberi kepada pelakunya kerana Allah telah menjadikannya wajib ke atas Dirinya untuk berbuat demikian. Di samping itu, kita juga melihat ancaman Allah terhadap orang yang melakukan kesalahan dengan neraka dan azab yang dahsyat. Namun begitu, ancaman ini terserah kepada Allah untuk melakukannya atau dengan Sifat Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang, Dia akan ampunkan segala kesalahan tersebut atau Allah akan mengampunkannya atas sebab tersilap atau terlupa.

Sebagai contoh yang mudah, setiap perlakuan meminum arak itu adalah haram dan pelakunya diancam dengan azab api neraka. Namun demikian, ini tidak bermaksud bahawa semua peminum arak itu akan diazab dan kesemuanya akan dicampak ke dalam api neraka! Allah akan ampunkan sesiapa saja yang dikehendakiNya dengan Sifat PemurahNya, atau Dia akan membiarkan saja kesalahan itu tanpa balasan, atau Dia akan mengambil kira amalan kebaikan untuk menampung kesalahan dan dosa tersebut.

Bahkan Ibn Taimiyyah dalam Majmu’ al-Fatawa seperti yang dipetik oleh Dr Yasir Qadhi, berkata bahawa mereka yang tergolong dalam golongan yang benar sekalipun, tidak semestinya mereka akan automatik menjadi ahli syurga. Bahkan dia berpendapat, boleh jadi orang yang tergolong dalam kelompok yang sesat dan menyeleweng tadi akan mendapat tempat yang lebih tinggi di akhirat nanti berbanding mereka yang tergolongan dalam golongan yang benar disebabkan keikhlasan dan amal kebajikan mereka yang banyak. Sebaliknya, mereka yang aqidahnya benar dalam golongan yang selamat, jika mereka mendokong dosa yang banyak dan melakukan amalan tanpa keikhlasan yang hakiki, dia berkemungkinan akan menduduki tempat yang lebih rendah di akhirat kelak. Sebab itu pentingnya keikhlasan dan taqwa yang boleh jadi dengannya Allah mengangkat darjat mereka yang tersesat dari sudut aqidah lebih tinggi berbanding mereka yang beraqidah dengan aqidah golongan yang selamat namun tergelincir dalam sudut ikhlas dan taqwa. Allahua'lam.

5) Menganggap semua perbezaan pendapat termasuk dalam maksud hadith

Di samping itu, ada juga mereka yang cenderung untuk memasukkan kesemua jenis perbezaan pendapat dalam bakul yang sama lalu dianggap menepati maksud hadith ini. Sedangkan hadith ini hanya berbicara tentang perbezaan pendapat dalam masalah yang pokok dalam isu 'aqidah sahaja. Oleh itu, perbezaan pendapat dalam isu-isu ranting, termasuk isu-isu ranting dalam persoalan 'aqidah dan ibadah, bukanlah menjadi fokus perbincangan dalam hadith ini. Bukan semua perbezaan pandangan secara automatik akan membuahkan perpecahan golongan daripada aspek aqidah.

Realitinya, dalam banyak perkara umat ini boleh bertoleransi dan hormat-menghormati pandangan antara satu sama lain. Ini terkecuali untuk beberapa perkara pokok aqidah sahaja. Contohnya, satu kelompok beriman kepada qada’ dan qadar dan satu kelompok lagi menafikannya. Golongan yang menafikan inilah yang dipanggil qadariyyah yang terkeluar daripada kelompok yang benar. Di sana terdapat beberapa kelompok yang menanggapi setiap perbezaan pandangan dalam apa jua bidang adalah perbezaan aqidah. Sehingga perbezaan yang kecil dalam ibadah seperti solat pun dibesar-besarkan seolah-olah ia adalah isu pokok dalam aqidah yang akhirnya menatijahkan sikap saling label melabel antara satu sama lain, masing-masing menganggap kelompoknya benar manakala yang berbeza dengannya sesat lagi menyesatkan.

Demikian secara ringkas kupasan berkenaan salah faham berkaitan hadith "umatku akan berpecah kepada 73 golongan" yang diringkaskan daripada video ucapan Dr Yasir Qadhi. Untuk mendapatkan ucapan penuh beliau, bolehlah menonton sendiri di pautan yang telah disediakan. Jika ada sebarang komen, kritikan dan cadangan, bolehlah kemukakan kepada saya di FB, email atau ruangan komen.

http://www.youtube.com/watch?v=Pr-sf9vzjWM

http://frank-hasan.blogspot.com/2013/09/salah-faham-hadith-umatku-berpecah_19.html