Wednesday, June 1, 2011

***AKU INGIN MENJADI SITI KHADIJAH RA..ISTERI NABI..TERIMALAH TAUBAT KU YA RABB..***

Sesekali terdetik hati ini bertanya kepada diri sendiri, apakah amalan selama ini sudah cukup untuk menjadi bekalan di akhirat sana? Sekalipun cukup, apakah timbangan amal kebajikan itu dapat mengatasi amalan kejahatan? Bagaimana hendak disembahkan amalan-amalan ini kepada Dia…. Apakah Dia sudi menerimanya…?





Astaghfirullahal ‘aziim…, kecilnya diri insan bila menyedari bahawa kita hanya seorang hamba. Sekalipun di angkat darjat sebagai manusia yang menjadi khalifah di muka bumi ini dan dikurniakan akal fikiran, hakikatnya kita tetap kerdil di sisiNya jika kita tidak beriman. Apalah gunanya pangkat dan nama, jika kita sering menzalimi diri sendiri? Bagaimana ingin dipulangkan kembali segala apa yang dipinjamkanNya di dunia ini dalam keadaan sempurna? Malunya untuk berhadapan denganNya dengan keadaan yang penuh dengan dosa ini…..

Tangan ini dikurniakan untuk beramal bakti, tolong-menolong untuk kebajikan, memohon doa kepadaNya, kaki ini diberikan untuk melangkah ke tempat-tempat mulia yang dapat menuju ke SyurgaNya, mata pula dikurniakan untuk melihat dan menghayati segala ciptaanNya dan kemudian menginsafi akan kelemahan diri sendiri. Bibir ini dicipta untuk menyebut asma-asmaNya.Tetapi apakah semua ini digunakan tepat pada jalanNya? Jika benar, mengapa terlalu sukar untuk kita mengalirkan air mata bila melihat kebesaranNya? Mengapa pula sukar untuk tinggalkan kemaksiatan? Apakah kerana terlalu sedikit keikhlasan yang diberikan…atau mungkinkah kita terlalu ego? Mengapa kita membiarkan diri kita terus berada dalam dosa sedangkan kita tahu bahawa segala yang dijanjikanNya adalah benar yakni nikmat dan azabNya itu adalah benar?





Kita tahu akan dosa dan pahala, tetapi sering tidak mengendahkannya. Kita sedar akan adanya kematian, tetapi sering melupakannya. Kita juga sedar dunia ini hanya sementara tetapi hidup seolah-olah untuk selamanya. Bila mendapat kejayaan dan nikmat, jarang sekali mengucapkan syukur kepadaNya seolah-olah kita perolehnya dengan usaha kita sendiri semata-mata. Kita mengaku adanya Tuhan, tetapi sedikit sekali yang beriman.





Bukankah kita terlalu angkuh kepadaNya…..mengapa kita jadi sebegini jahil sedangkan kita ini lemah… tiada kuasa dan daya melainkan dengan pertolonganNya. Sedarlah insan, tiada apa yang membahagiakan di dunia ini melainkan hanya penderitaan semata-mata jika kita tidak beriman kepadaNya. Dekatkanlah diri kita denganNya…..rendahkanlah diri dihadapanNya dalam beribadah, basahilah pipi ini dengan air mata taubat yang sebenar-benar taubat, sinarkanlah wajah ini dengan siraman air wudhuk, bersihkan dan sucikan hati yang selama ini dikotori dosa-dosa dengan wangian keikhlasan dalam segala amal kebaikan dan…pagarilah diri ini dengan benteng keimanan yang utuh dan kukuh dengan keyakinan yang kuat bahawa Allah sentiasa bersama kita biarpun dalam suka mahupun duka.





Bagiku, dunia ini ibarat sebuah neraka kerana di dalamnya dipenuhi banyak orang yang melakukan maksiat, terlalu banyak kerosakan yang berpunca dari manusia sendiri, terlalu banyak fatamorgana yang melalaikan manusia. Tidakkah kita semua menyedarinya? Dan…berada disamping orang-orang yang beriman dan beramal soleh, baik para alim ulama atau insan yang baru hendak mendekatkan diri kepadaNya, asalkan dihatinya ada keinsafan untuk mencari jalan yang dapat menuju ke syurgaNya, hanya itulah yang dapat membahagiakan dan mententeramkan jiwaku. Mudah-mudahan aku juga dapat menjadi seperti mereka dan dapat menjadi seorang ‘Abid di sisiNya suatu masa nanti, InsyaAllah.





“Ya Allah Ya Tuhan kami, Engkaulah petunjuk kami, maka tunjukilah kami ke jalan yang Engkau redhai dan rahmati, bimbinglah kami dalam meniti perjalanan yang penuh dengan onak dan duri ini, janganlah Engkau membiarkan kami tersungkur tanpa pertolonganMu, jangan Engkau biarkan kami sesat dan terus hilang dari petunjukMu, sesungguhnya kami insan yang lemah lagi hina, tiada tempat untuk kami mengadu melainkan kepadaMu, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui, tunjukkanlah kami pilihan yang tepat dalam setiap tindakan dan keputusan kami dalam menegakkan agamaMu di muka bumi ini, sesungguhnya kami sedar akan kelemahan kami. Maka tetapkanlah hati kami, hati orang-orang yang beriman supaya tidak berpaling dari agamaMu dan tidak pula membiarkan orang-orang munafiq dan orang-orang yang kufur mempermainkan agamaMu.





Ya Allah Ya Razzaq, setiap nafas kami, hanya milikMu…kerana kami tahu bila-bila masa sahaja jika Engkau berkehendakkan kami kembali kepadaMu, pasti tiada apa yang dapat menghalangMu, Cuma kami memohon…..terimalah kami kembali kepadaMu dalam keadaan yang suci dan bersih dari dosa-dosa yang pernah kami lakukan di dunia ini, sesungguhnya kami sangat malu untuk bertemuMu dalam keadaan yang kotor, kami juga malu atas dosa-dosa yang pernah kami lakukan. Kami memohon perlindunganMu Ya Allah, lindungilah kami dengan perisai keimanan di hati dan seluruh anggota tubuh badan kami. Jangan Kau relakan kaki kami melangkah ke tempat-tempat maksiat, jangan kau biarkan kedua tangan kami saling membantu ke arah maksiat dan kejahatan dan jangan pula Engkau dekatkan kemaksiatan itu menghampiri kami, sebaliknya pimpinlah kami ke tempat-tempat yang dapat mendekatkan kami kepadaMu sama ada secara berjemaah atau hanya berduaan denganMu. Sesungguhnya kami serik akan duniaMu ini, kami serik untuk berjauhan denganMu kerana kami sedar tiada ertinya hidup ini tanpa Engkau di sisi kami.





Ya Allah, dengarlah rintihan kami ini, kami merayu padamu Ya Allah, makbulkan doa kami…..kami ingin mencintai maka kurniakanlah kami perasaan cinta kepadaMu, kami juga ingin dicintai maka cintailah kami sepertimana Engkau mencintai kekasihMu yang juga Nabi utusanMu kepada kami yakni Rasulullah saw, kurniakanlah kami kemanisan iman itu, yakni nikmat dalam beribadah kepadaMu…..sesungguhnya kami pasrah akan ketentuanMu kerana kami tahu bahawa Engkau Maha Arif akan apa yang terbaik untuk hamba-hambaMu, kami pusatkan segala amal kami semata-mata keranaMu, terimalah segala amal kami dan kurniakanlah kami darjat yang tinggi di sisimu, layakkan kami memiliki singgahsana syurgaMu….Amiin”

No comments: