Friday, August 5, 2011

*** TENANGLAH HATI ***



Setiap hari kita ketawa.

Setiap hari kita jumpa kawan.

Setiap hari kita dapat apa yang kita inginkan.

Tetapi... kenapa hati kita tak gembira?

Kita sembahyang setiap hari. Kita berdoa selalu pada Allah. Kita mintak sungguh-sungguh pada Allah. Tetapi... kenapa susah sangat doa kita nak makbul? Sedangkan Allah ada berfirman, "Berdoalah pada Ku, nescaya akan Ku kabulkan..."

Apa masalah kita?

Hati kita tidak gembira sebab kita tidak pernah bersyukur dengan apa yang kita ada. Kita tak pernah nak menghargai setiap nikmat yang kita dapat. Kita asyik memikirkan benda yang kita tak ada, sampai kita lupa melihat nikmat di sekeliling kita.

Kita berdoa, tetapi kenapa payah sangat doa kita Allah nak makbulkan?

Sebab kita asyik meminta pada Allah, tetapi kita tak pernah mintak ampun pada Allah, sedangkan dosa-dosa kita terlampau banyak pada Allah. Alangkah tidak malunya kita.

Kita merintih, kita merayu agar Allah makbulkan doa kita. Tetapi, lepas kita dapat kesenangan kita lupa pada Allah, kita tidak bersyukur pada Allah. Apabila datang kesusahan, baru ingat Allah balik. Baru nak menangis, merintih... mintak Allah pandang kita. Macam mana Allah nak makbulkan doa kita?

Cuba kita renung diri kita kita. Cuba hitung, berapa kali kita sebut kalimah syukur dalam satu hari? Tak payah seminggu, cukuplah sehari sahaja. Berapa kali agaknya? Itupun kalau ada sebut la...

Pernah kita bangun malam, solat sunat? Solat tahajud? Solat taubat? Pernah?

Ada, mungkin ada, tapi dulu... waktu zaman sekolah dulu. Itupun, lepas kena ketuk dengan warden, suruh bangun. Lepas tu... ada? Ada, time dah nak exam... waktu rasa result macam ada aura nak fail. Siap buat solat hajat lagi! Lepas dapat result tu, ada tak buat sujud syukur? Hmm... entah la, tak ingat pulak.

Hari-hari kita buat baik. Kita tolong orang. Kita sedekah dekat orang. Kita buat macam-macam. Tetapi kenapa kita tak dapat nak rasa kemanisan setiap perbuatan yang kita lakukan itu? Hati kita tetap juga tak tenang. Kenapa ye?

Sebab dalam hati kita tak ada sifat ikhlas. Mulut cakap ikhlas, hati kata lain. Macam mana tu? Kita tolong orang sebab nak harapkan balasan. Nakkan pujian. Nakkan nama. Kita riak dengan setiap kebaikan yang kita buat. Macam mana hati nak tenang?

Bila dapat kejayaan, kita bangga dengan apa yang kita ada. Mula nak menunjuk-nunjuk dekat orang. Sampai lupa siapa sebenarnya yang bagi kejayaan itu dekat kita.

Alangkah tidak malunya kita... sedangkan Allah menciptakan kita sebagai khalifah di bumi ni.

Kitalah sebaik-baik kejadian yang Allah pernah ciptakan sehingga semua makhluk sujud pada bapa kita, Nabi Adam kecuali Iblis Laknatullah.

Betapa Allah muliakan kejadian manusia.

Tapi, kita sendiri tidak memelihara diri kita. Kita lupa tanggungjawab kita sebagai hamba. Kita lupa kepada yang mencipta diri kita. Bahkan, kita alpa dengan nikmat yang ada.

Nabi Muhammad S.A.W, pada saat malaikat ingin mencabut nyawa Baginda, Baginda masih memikirkan umat-umatnya. Ummati! Ummati! Sampai begitu sekali sayang Rasulullah pada kita. Tapi kita...? Kita lupa pada Baginda Rasul. Berat benar lidah kita nak berselawat ke atas Baginda. Macam mana hati kita nak tenang?

Lembutkanlah hati kita. Tundukkanlah diri kita pada Allah. Bersyukur dengan nikmat yang Allah pinjamkan pada kita. Semua itu tidak akan kekal. Bila-bila masa Allah boleh tarik balik semua itu. Ikhlaskanlah hati dalam setiap perkara yang kita buat.

Sesungguhnya, hanya Allah sahaja yang berkuasa menilai keikhlasan hati kita. Insya-Allah, kita akan dapat merasai kelazatan halawatul Iman itu sendiri. Tenanglah dikau, wahai hati...


(i lUV iSLAM .COM ) :)

*** Alangkah Bosannya *** ????



Alangkah bosannya hidup kalau kita tak tahu cara yang betul untuk menikmatinya.

Alangkah bosannya hidup kalau kita mensia-siakan waktu yang Allah pinjamkan ni untuk perkara yang sia-sia.

Alangkah bosannya hidup kalau setiap detik dan waktu kita hanya diperuntukkan untuk duniawi.
...

"Dan sesungguhnya pahala hari akhirat lebih baik bagi orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa." (Surah Yusuf : Ayat 27)

Alangkah bosannya hidup kalau takde sehari pon dalam hidup kita diperuntukkan untuk family.

Alangkah bosannya hidup kalau memiliki beratus malah beribu friends dalam Facebook tapi tak sorang pon yang mengerti kesusahan hati yang kita alami.

Alangkah bosannya hidup kalau kita mendahulukan kepentingan terhadap ciptaan Allah berbanding kepentingan Allah sendiri.

Alangkah bosannya hidup kalau kita mempunyai seorang kekasih hati tapi dalam masa yang sama kita terpaksa mendera dan melukakan hati sendiri dengan sikapnya yang tidak memahami.

Alangkah bosannya hidup kalau kita asyik teringatkan seseorang sedangkan ada berjuta lagi manusia dalam dunia ni.

Alangkah bosannya hidup kalau kita hanya membaca karya-karya agung sasterawan dunia tapi kita lupa untuk menghayati ayat-ayat Allah dalam Al-Quran.


"(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar." (Surah Saad : Ayat 29)

Alangkah bosannya hidup kalau kita hanya melihat kesilapan orang lain dan mentertawakannya, sedangkan kita lupa untuk bermuhasabah akan kesilapan diri sendiri.

Alangkah bosannya hidup kalau umur kita dihabiskan untuk menangisi nasib tapi tak pernah berusaha untuk mengubahnya.

Alangkah bosannya hidup kalau kita asyik mengeluh dan rasa menyesal serta berputus harap dengan rahmat Allah sedangkan takde yang berputus asa dari rahmat Allah melainkan orang kafir.


"Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusuf : Ayat 87)

Dan sesungguhnya, alangkah bosan hidup kalau kita JAUH dari Allah s.w.t.


"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul." (Surah Al-Baqarah : Ayat 186)

*** Sebagai Renungan kita bersama *** :)



Tuhan, kenapa aku masih berada di sini? Bukankah aku dahulu selalu bersedekah di masjid-masjid? Bukankah aku dahulu sentiasa membantu sahabat-sahabatku yang kesusahan? Bukankah aku dahulu sentiasa memberi peringatan kepada sahabat-sahabatku? Kenapa aku masih ada di Neraka-Mu ini?

Tuhan, mana pergi amalan-amalan baik yang aku lakukan dahulu? Tidakkah aku telah menggunakan kudratku untuk jalan dakwah...? Oh Tuhan. Dengarlah rintihan aku ini.

(Tiba-tiba)

Tangannya terangkat dan berkata, "Aku dahulu memasukkan duit ke dalam tabung kerana aku inginkan pujian sahabat-sahabatku terutamanya mereka yang berlainan jantina denganku."

Kakinya tiba-tiba bersuara,'aku berjalan pergi berdakwah semata-mata ingin menonjolkan diriku di hadapan orang lain bahawa aku ini seorang yang Alim dan Soleh. Aku ingin manusia melihat betapa aku ini hebat berdakwah dan kaya dengan ilmu agama.'

Mulutnya tiba-tiba menyanggah, 'ah, kau ni. Kononnya mulut kau ini kau gunakan untuk mengingatkan sahabat-sahabat kau, tetapi hakikatnya kau tidak mengamalkannya! Kau suruh orang jauhi zina tetapi kau dengan mudah ber'chit chat' dengan teman-temanmu yang berlainan jantina dan bercakap perkara-perkara yang tidak sepatutnya! Kau suruh orang bersedekah dan berbuat baik, tetapi diri kau? Pernah kau cerminkan diri kau? berapa banyak harta kau yang kau laburkan untuk Akhirat? dan berapa peratus nilai keihklasanmu di dalamnya?

Telinga yang hanya mendengar dari tadi turut tidak melepaskan peluang.'Hey hey, nanti dulu. Kau jangan lupa, telinga kau ni, kau gunakan untuk apa? Ingat tidak pada suatu ketika dahulu, kau menggunakannya untuk mendengar lembut suara si dia yang bukan muhrim mu? Apa kau sudah lupa ketika nafsu kau sudah menewaskan akal dan Iman mu, kau asyik dalam kecintaan kau pada dia yang tidak halal bagimu? Apa kau ingat semua ini bukan dosa? Mana perginya tazkirah yang kau beri dahulu kepada teman-temanmu? Apa yang kau ingatkan mereka? Sudah lupa? Kau mengatakan La Takrabu Zina. Punya kau bersemangat memberi ceramah mengenai bahaya pujuk rayu Syaitan, tetapi mengapa kau yang tertewas dengan pujuk rayu si Durjana tu?

Hati yang kehitam hitaman tiba-tiba mencelah, "itulah kau manusia. Sudah kerugian kau di sini bukan? Bukankah Guru-guru mu sentiasa berpesan, pastikan kau lakukan sesuatu dengan niat yang ikhlas. Bukankah kau sudah tahu benar segala amalan tanpa niat yang ikhlas umpama buih di lautan. Segala kebaikanmu itu habis hancur berkecai. Dahulu bila kau dianugerahkan dengan nikmat yang banyak, kau lupa diri.

Kau sombong! Keihklasanmu lenyap sekelip mata. Syukur mu kian menipis. Bongkak mu kian meninggi. Apa kau sudah lupa hakikatnya kau cuma manusia lemah ciptaan Si Maha Besar? Bukankah sifat sombong hanya milik mutlak Allah? Kau tahu bukan si durjana Iblis dihalau dari Syurga kerana kesombongannya? Si Firauan binasa kerana bongkaknya? Si namrud dihina kerana takburnya? Jadi kenapa kau tidak belajar dari pengajaran ini?

Betapa dirimu rugi hari ini wahai manusia. Andai didunia dahulu kau mengamalkan ilmumu, pasti kau bahagia sekarang. Tetapi, seperti kau tahu, There is no turn Back! Sekarang rasailah azab dari Allah ini bersama - sama dengan kami," kata si iblis dan kaumnya.

Tiba-tiba tersedarku dari mimpi. Astarfirullah. Saat itu, terbayang-bayang difikiranku akan Surah Yassin ayat 65 :

"Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa Yang mereka telah usahakan."

Ya Allah, lindungilah kami dari melakukan apa yang Kau larangi dan dekatkanlah kami dengan amalan-amalan yang Kau redhai.

Ciri-Ciri Taqwa - Ustaz Kazim Elias

Hidayah - Ustaz Kazim Elias