Friday, January 6, 2012

Pemiilihan Ketua Untuk Musafir Sampai Mati


Pemiilihan Ketua Untuk Musafir Sampai Mati

Bagi seorang wanita, membuat keputusan untuk menerima seorang lelaki dalam hidup mereka bukanlah satu perkara yang mudah. Berat hati untuk membuat keputusan, apatah lagi keputusan tersebut adalah keputusan yang bakal merubah hidup mereka. Selepas keputusan dibuat, ketaatan yang sebelumnya diberikan sepenuh hati kepada si ayah, kini bakal beralih sepenuhnya ke tangan suami. Dialah ketua, dialah imam dan dialah pemimpin.

Maka sudah tentu, memilih seorang lelaki ke jawatan tersebut adalah suatu yang berat. Kalau dalam bermusafir pun, Nabi s.a.w menyuruh supaya dilantik seorang ketua ; menggambarkan betapa perlunya kepimpinan dalam permusafiran, apatah lagi untuk sebuah perjalanan musafir yang noktahnya adalah sebuah kematian. Sudah tentu, ketua untuk memimpin perjalanan musafir tersebut perlu seorang yang benar-benar layak.

Silap memilih, musibah jawabnya.

Hendak bermusafir ke Kuala Lumpur, tetapi sesat sampai ke Gua Musang. Hendak bermusafir menuju redha Allah, tetapi dipandu ke jalan nafsu dan keseronokan. Itu malapetaka namanya. Sudah tentu, tidak ada mana-mana pun wanita yang mahu bahagia dunia dan akhirat, ingin berpemimpinkan ketua yang seperti itu.

Justeru, sebenarnya bagaimana cara terbaik untuk mengenalpasti lelaki yang masuk melamar atau yang bakal kita pilih itu, benar-benar layak untuk menjadi pemimpin kepada sebuah musafir sampat mati?

Sebenarnya, secara mudah, ciri tersebut disimpulkan oleh Allah ta’ala di dalam Al quran.

Adad dua ciri penting yang disebut dalam ayat tersebut adalah Al qawiy iaitu kemampuan dan Al amin iaitu sifat amanah. Kedua ciri penting ini sekiranya ditekankan dalam pemilihan calon ketua ( suami ) insyaAllah tidak akan menyesal.

Al qawiy

Pastikan bakal ketua ( suami ) yang hendak kita pilih adalah seorang yang mempunyai kemampuan yang cukup bagi menggalas tugas sebagai seorang pemimpin keluarga. Ini termasuklah aspek keberanian diri, komitmen dalam kerja, keseriusan dalam perancangan dan kematangan dalam berfikir.

Kesemua perkara tersebut boleh dinilai pada lelaki tersebut sebelum dia berkahwin.

Jika sebelum berkahwin dia seorang yang tidak serius ,pemalas , pengecut, pasif dan tidak berani membuat keputusan, maka selepas berkahwin tidak ada jaminan pun untuk dia berubah daripada semua tabiat tersebut. Paling tidak, kita berdepan dengan risiko, samada dia berubah dan kita boleh berpaut padanya ataupun dia tidak berubah dan kita akan menderita.

Maka aspek kekuatan pada seorang pemuda itu perlu diperhalusi sebaik mungkin, supaya apabila berkahwin nanti dia benar-benar mampu melaksanakan tugasnya sebagai seorang ketua dan pemimpin kepada kita. Lebih-lebih lagilah kekuatan dari sudut rohani, bukan kekuatan fizikal semata-mata.

Paling baik, pilihlah pemuda yang aktif bersukan dan rajin pula ke masjid. InsyaAllah ciri-ciri Al qawiy itu ada pada dirinya.

Al amin

Hendak amanah sesama manusia, terlebih dahulu mestilah kena amanah dengan Tuhan. Itu sifirnya. Seorang yang tidak amanah dengan Allah mana mungkin akan amanah dengan manusia.

Wanita adalah amanah, yang mana apabila berkahwin, amanah tersebut akan berpindah seratus peratus ke bahu suaminya. Amanah untuk mendidik, mentarbiah, mengajar halal dan haram serta membimbingnya supaya konsisten dengan ibadah serta menjauhi maksiat ; ini semua adalah amanah yang cukup berat.

Dan amanah yang paling asas untuk dinilai adalah solat lima waktu sehari semalam. Jika amanah ini pun tidak mampu ditunaikan, maka apatah lagi amanah yang lain. Kesemua ini penting untuk dinilai bagi memastikan lelaki tersebut benar-benar sedar akan amanah yang bakal digalasnya, bukan sekadar mahu berseronok semata-mata.

Akhlak

Selebihnya, telitilah juga dari sudut akhlak pemuda tersebut. Inilah ciri terpenting bagi seorang yang ‘ada agama’. Islam itu sendiri bukan sekadar solat dan puasa. Islam itu adalah way of life yakni sebuah cara hidup. Bagaimana seorang pemuda itu mempraktikkan Islam dalam kehidupan sehariannya, maka di situlah letaknya ketinggian agama dalam diri pemuda tersebut.

Tidak semestinya apabila disebut perihal pemuda yang beragama, maka terus kita membayangkan dia perlulah seorang ustaz atau seorang yang mahir dalam hal ehwal agama. Tidak semestinya. Lebih penting adalah kefahamannya terhadap agama dan praktikalnya dalam kehidupan sehari-hari.

InsyaAllah, jika tapisan kita benar-benar mengikut ciri-ciri di atas, maka ketua yang bakal kita pilih akan mampu membimbing kita dalam sebuah permusafiran yang cukup jauh. Itulah permusafiran menuju Tuhan, tempat kembali yang kekal abadi.

Semoga Allah permudahkannya AMin untuk anda semua.

Salah Faham Tentang Cinta


Salah Faham Tentang Cinta

Kalau kita mengkaji tentang cinta, comfirm kita akan berjumpa dengan berjuta2 pandangan manusia. Itu belum masuk dalam bab kata2 hikmah, lirik lagu, novel, cerpen dan sebagainya. Terlalu banyak.

Tetapi, banyak tidak semestinya baik. Kata2 atau ayat2 yang disusun indah, belum tentu betul dan benar.

Begitu juga dengan cinta.

Saya melihat, banyak orang salah faham dalam mengenal makna cinta. Baik, sekarang kita membincangkan secara khusus tentang cinta antara manusia dengan manusia, antara lelaki dengan wanita. Jelas.

Antara salah faham yang sering berlaku adalah perihal jodoh.

Kata mereka, kalau jodoh sudah ditentukan, mengapa perlu mencari cinta kita ? Nantikan saja jodoh itu sampai.

Sebenarnya, kita tidak menafikan bahawa jodoh itu tekah ditetapkan oleh Allah. Begitu juga dengan rezeki. Begitu juga dengan kematian. Tetapi kita perlu faham, bahawa manusia disuruh berusaha dalam segala hal. Berusaha dengan segala cara yang ada dengan menggunakan segala kudrat padanya demi memperoleh sesuatu adalah perkara yang dianjurkan oleh Islam.

Takdir juga begitu.

Ada orang kata, kalau syurga dan neraka telah ditentukan, mengapa perlu berbuat amal ibadah? Kalau sudah tentu ahli neraka, buat amal banyak mana pun, tetap ke neraka. Alangkah jauh kefahaman ini dengan ajaran Islam yang sebenarnya.

MAKAN

Setiap hari, anda bangun dari tidur, mengapa anda melangkah ke dapur, membuka peti ais dan mencari makanan? Ketika tengahari, perut terasa lapar, mengapa anda melangkah ke gerai makan mencari nasi ulam? Sepatutnya, rezeki anda telah ditetapkan, dan anda hanya perlu duduk bersila menanti perut anda kenyang. Bukankah katanya rezeki dan takdir telah ditentukan?

Tetapi saya percaya, tidak ada orang yang akan berbuat demikian. Ketika perut lapar, mereka pandai pula berusaha mencari makanan. Tetapi dalam bab ibadah, tidak mahu berusaha membuat amal, sebaliknya beralasan segalanya sudah ditentukan. Ini jelas sekali kefahaman yang menyimpang.

JODOH

Begitu juga dengan jodoh. Memang benar telah ditentukan, tetapi kita tetap wajib berusaha. Berusaha untuk mendapatkan calon yang baik, yang kuat agama dan akhlaknya, sebagaimana saranan Nabi s.a.w dalam hadith2 baginda. Begitu juga, berusaha untuk memperbaiki diri dari segi zahiriah dan batiniah untuk menjadi bakal suami atau isteri yang baik. Demikian juga dengan berusaha membina kewangan dan sebagainya.

Sudah tentu, perbuatan duduk bersila di rumah dan mengharapkan jodoh anda segera tiba di muka pintu adalah tindakan yang salah. Memang benar Allah yang bagi kenyang, bukan nasi. Tetapi kita berpegang dengan asbab. Asbab nasi, kita menjadi kenyang walaupun hakikatnya Allah yang bagi kenyang. Begitu juga jodoh. Asbab kita berusaha , dapatlah jodoh. Walaupun hakikatnya, memang Allah sudah tetapkan jodoh tersebut.

Kadang2 susah juga berdepan dengan salah faham seperti ini. Si anak dara yang sungguh menebal nilai ‘kemuslimahannya’ berkata ; jodoh sudah ditentukan, mengapa kita sibuk mencari? Sepatutnya kita fokus beramal ibadah kepada Allah.

SEPATUTNYA

Dalam pada mendekatkan diri kepada Allah, memperbanyakkan amal ibadah, hubungan dengan manusia jangan kita pinggirkan. Hal ehwal cinta ini termasuk dalam hubungan kita dengan manusia. Kita tidak tahu siapa , di mana dan bagaimana kita berjumpa dengan jodoh kita. Ada orang bertemu di pusat pengajian, ada orang di alam pekerjaan dan sebagainya.

Sewajarnya, kita terbuka dan optimis dalam usaha mencari jodoh. Mencari bukan bermakna terhegeh2, letak gambar besar gedabak dalam facebook, siap dengan posing bajet kiut atau melazimi aksi tergedik2 depan lelaki. Bukan begitu.

Mencari maknanya anda tahu membawa diri anda masuk dalam masyarakat. Anda menjadi diri anda sendiri, samada di univerisiti atau di tempat kerja. Anda bergaul secara professional dan tegas dalam menjaga batas2 agama. Sekiranya ada yang tertarik dengan diri anda, menyuarakan hasratnya, maka anda terbuka dalam tegas. Disalurkan kepada tempat dan cara yang sepatutnya. Berbincang secara matangl dan kemudian jika benar2 ada kesungguhan, sila berjumpa dengan keluarga.

Sila faham, bahawa apa yang saya sebutkan di atas termasuk dalam kategori ‘berusaha’. Itu pun sudah memadai. Apa yang silap, bila anda duduk goyang kaki di rumah, dan berharap supaya putera raja segera datang melamar anda. Anda fikir anda siapa?

NO MAN NO CRY

Salah faham kedua. Ini pada pendapat saya. Secara teori, saya ingin nyatakan bahawa saya tidak ada masalah. Bahkan saya boleh tabik spring pada teori tersebut. Tetapi pada praktikalnya, saya minta maaf. Saya kurang percaya.

Apa dia?

Seorang wanita yang dilamar oleh lelaki, mulanya gembira, tetapi tiba2 merasa berdosa dengan Allah. Lantas menolak lamaran tersebut.

Sebab?

Kononnya kerana meminggirkan cinta Allah. Katanya kepada sang lelaki ( dengan ayat berbunga2 bermadah tazkirah bagai ) : saya tidak boleh menerima orang lain untuk diletakkan di hati saya selain Allah. Siap bermimpi2 lagi bahawa Allah murka kepadanya kerana ‘tunduk pada nafsu dan sanggup menerima lelaki’ di hatinya selain Allah.

Jujurnya, saya tidak tahu samada ia terinspirasi dari kisah sufi yang agung, iaitu Rabiatul Adawiyah , ataupun ia cuma rekaan ‘budak agama’ yang kecewa dengan cinta. Tetapi seperti saya nyatakan di atas, secara praktikalnya sangat2 jauh menyimpang dari kefahaman Islam yang sebenar.

Anda lupa kepada sebuah hadith baginda s.a.w yang masyhur. Iaitu apabila baginda didatangi oleh tiga lelaki yang seorangnya tidak mahu berkahwin dan seorang lagi pula mahu berpuasa tanpa mahu berbuka.Tetapi adakah Nabi membenarkan perbuatan2 mereka? Jawabnya tidak. Bahkan Baginda s.a.w sendiri berkahwin dan menganjurkan supaya berkahwin.

Habis, adakah Rabiatul Adawiyah dan Hasan Al Basri , penghulu para tabi’in di Basrah ( juga tidak berkahwin ) telah melakukan kesalahan dan dosa?

Sebelum saya jawab, perlu juga ditanya, secara realitinya, masih wujudkah insan2 seperti mereka di zaman kita hari ini? Jangan terlalu asyik mengarang ayat puitis tanpa sedar yang anda tidak lagi berpijak di bumi nyata. Jangan bebankan diri kita dengan benda yang kita tidak mampu.

Maka pada saya, kalau di zaman kita hari ini, ada orang yang mengucapkan kata2 sedemikian, ia boleh jadi lahir dari sejenis tekanan perasaan atau masalah dalaman. Mereka perlu diubati untuk membuka kembali hati mereka dalam mengenali cinta.

Cinta antara lelaki dan wanita, hakikatnya indah dan sangat indah. Tetapi ia menjadi buruk kerana kita yang salah faham tentang cinta. Dan perlu diingatkan, bahawa cinta lelaki dan wanita langsung tiada kaitan dengan berkurangnya cinta kita kepada Allah. Apa kejadahnya seorang wanita menerima seorang lelaki sebagai suami, atas dasar menyempurnakan agamanya dan mengikut sunnah Rasulullah s.a.w , tiba2 Allah murka pula padanya kerana meletakkan lelaki di hatinya selain Allah?

Kalau betul2 mahu meletakkan hanya Allah di hati, maka mak dan ayah juga perlu dibuang. Ini kerana seorang mukmin wajib mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih dari segala makhluk yang lain. Dalil ini sahih dan benar, tetapi apabila kita salah faham akan pengaplikasiannya, maka hiduplah kita dalam kesengsaraan dan penderitaan lantaran kejahilan kita sendiri tentang cinta.

Saya harap, kita semua tidak terlibat dengan salah faham tentang cinta seperti di atas.

KESIMPULAN

Cinta kepada Allah adalah cinta paling agung. Kerana itu terdapat sebahagian ahli sufi yang tidak berkahwin kerana sibuk dengan ibadah dan cintanya kepada Allah. Tetapi mereka adalah golongan terpilih, yang mana kekentalan iman mereka tidak dimiliki oleh orang2 di zaman ini, kecuali sangat2 sedikit. Maka orang awam tidak boleh disamakan dengan mereka.

Menerima cinta di hati kita kepada manusia tidak mencacatkan hubungan cinta kita dengan Allah, selagimana kita tetap meletakkan cinta Allah sebagai cinta yang paling utama. Justeru, pembaca yang masih bujang , jangan takrifkan cinta dalam konteks yang salah. Cinta manusia itu mungkin menjadi wasilah untuk anda lebih mencintai Allah dan meningkatkan taqwa pada-Nya.

Justeru, letakkan matlamat yang betul : ” Anda bercinta, Allah redha “.

Wanita, Bersediakah Anda Menjadi Penyejuk Mata?


Wanita, Bersediakah Anda Menjadi Penyejuk Mata?

” Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami dari isteri-isteri kami dan anak pinak kami, penyejuk mata kami. Dan jadikanlah kami penghulu bagi orang-orang bertaqwa.”

Ya. Penyejuk mata. Suatu perkara yang tidak pernah kita lupa untuk pohon setiap kali kita menadah tangan berdoa. Kenapa Allah ta’ala suruh kita minta penyejuk mata? Sebabnya, itulah yang bakal menjamin ketenangan dan kebahagiaan kita dalam kehidupan nanti.

Bagaimana kalau nantinya ada isteri, tetapi seringkali menyakitkan hati kita, raut wajahnya langsung tidak mendamaikan kita, tingkah lakunya ada sahaja yang tidak kena di mata kita. Adakah kita akan bahagia? Bagaimana pula kalau nantinya ada anak. Comel-comel belaka. Tetapi wujudnya mereka begitu menyusahkan kita, sikap mereka kerapkali melukakan hati kita, kedegilan mereka selalu sahaja membuatkan kita hilang sabar dan sakit hati sentiasa. Adakah kita beroleh ketenangan?

Tentu sekali tidak.

Lantas, kita dianjurkan supaya berdoa. Minta supaya Allah beri pasangan yang mendamaikan hati dan perasaan kita, serta zuriat yang boleh menjadi penyejuk mata kita. Mudah-mudahan, Allah makbulkan doa dan permintaan kita.

Suatu lontaran untuk para wanita hari ini, khususnya yang belum berumahtangga.

Sedarkah anda , bahawa bakal teman hidup anda setiap hari berdoa supaya anda menjadi penyejuk mata mereka? Sedarkah anda, bahawa mereka tidak pernah melupakan anda dalam setiap doa mereka?

Tidak. Saya tidak maksudkan anda mengenali mereka atau mereka mengenali anda.

Tetapi hakikatnya, mereka mendoakan anda yang bakal hadir dalam hidup mereka suatu ketika nanti. Sayangnya, anda mungkin terlupa lantaran anda tidak kenal siapa mereka. Kerana itu juga, anda kurang mengambil berat tentang persediaan anda untuk menjadi penyejuk mata mereka.

Penyejuk mata?

Sungguh, ia bukan tugas yang mudah. Kalau anda fikir ia akan berhasil dengan anda berhias diri, memakai wangian dan berbaju cantik di hadapan mereka setiap hari, sesungguhnya anda silap sama sekali. Anda harus sedar, ramai sekali golongan cantik dan menawan di luar sana yang gagal untuk menjadi penyejuk mata kepada suami mereka. Bahkan sebahagian besar dari mereka berakhir dengan perceraian. Semoga dijauhkan Allah.

Menjadi penyejuk mata suami, prosesnya bermula hari ini.

Tilik kembali diri anda. Zahiriah dan batiniah. Kedua-duanya.

Pertama sekali, bagaimana hubungan anda dengan Allah? Solat wajib dan sunat. Bacaan Al-Quran. Zikir munajat. Selawat serta amalan-amalan yang lain. Berapa peratus yang telah anda capai dan lakukan secara istiqamah? Tahukah anda, faktor paling besar yang menentukan samada anda berjaya atau tidak menjadi penyejuk mata suami adalah ; cemerlang atau tidak hubungan anda dengan Allah? Justeru, perbaiki dari sekarang.

Kedua, sikap dan perangai. Carilah seorang kawan yang jujur dan yang anda kira agak rapat serta kenal dengan anda. Sekiranya anda yakin akan kejujurannya, minta pandangannya tentang diri anda, terutama tentang sikap dan perangai. Jika anda dapati diri anda masih dibelenggu sikap meninggi diri, degil, ego yang tinggi, kurang rasa hormat pada orang, suka mengumpat, pemalas dan seribu satu sikap negatif yang lain, maka perkara pertama yang wajib anda buat adalah ; kikis sedaya upaya semua sikap tersebut dari terus melekat dalam diri anda. Percayalah, ia antara faktor yang bakal menggagalkan anda dari menjadi penyejuk mata suami.

Ketiga, lihat balik luaran diri anda. Khususnya pemakaian. Sempurnakah anda dalam menutup aurat? Jika masih selesa bertudung ringkas, berbaju t-shirt lengan sekerat dan berseluar jeans separa ketat, maka percayalah anda bakal bertemu kegagalan. Itupun sekiranya anda mempunyai hasrat untuk bergelar penyejuk mata suami.

Tidak, ini bukan soal suami anda islamik atau tidak, mengambil berat semua perkara itu atau tidak. Ia adalah soal Si Pemberi Ketenangan, iaitu Allah. Kalau Dia tak bagi, siapa lagi yang boleh bagi?

Mudahnya begini. Doa itu kan permintaan kita dengan Allah. Contohnya, kita minta supaya Allah terangkan hati kita supaya mudah belajar. Tetapi kita tidak berhenti dari tabiat suka minum arak. Mana mungkin Allah akan berikan ketenangan itu pada hati kita yang gelap?

Sama juga. Suami minta pada Allah, berikan dia penyejuk mata supaya dia beroleh tenang dalam hidup. Tetapi kita pula melazimi maksiat dan penderhakaan kepada Allah. Aurat kita terdedah setiap hari. Akhlak kita langsung tiada ciri isteri mithali. Hubungan kita dengan Allah lompong di sana sini. Lantas, adakah kita layak untuk menduduki tempat ‘penyejuk mata’ tersebut? Bagaimana pula kita yang jauh dari Tuhan, boleh menjadi penyejuk mata manusia?

Sekadar lontaran buat kaum hawa. Ramai di antara anda mahu menjadi isteri solehah suatu ketika nanti. Tetapi usaha ke arah itu masih lemah. Perbaikilah dari sekarang. Bisikkan ke dalam hati anda setiap hari, bahawa anda bakal menjadi penyejuk mata kepada seorang lelaki yang baik suatu ketika nanti. Lelaki itu pula setiap masa mendoakan anda supaya berjaya menjadi penyejuk mata mereka suatu masa nanti. Besar harapan mereka, sanggupkah anda hancurkan begitu sahaja?

Jadi mulai hari ini, berusahalah untuk menjadi penyejuk mata suami. Sebenarnya, andai anda mampu melaksanakan langkah pertama yang saya sebut di atas ; iaitu memperbaiki hubungan anda dengan Allah, maka anda sebenarnya telah berjaya melepasi separuh masa pertama piala kemenangan untuk bergelar isteri solehah – penyejuk mata suami.

Justeru, selamat berjaya, wahai para penyejuk mata!

ISLAM + UJIAN + PETUA ..




Perjalanan hidup manusia sentiasa meletakkan mereka dalam arus cabaran dan dugaan. Tidak ada manusia yang hidup tanpa diuji dan dicuba. Sudah tentu, dalam berhadapan dengan pelbagai ujian dan cabaran itu, kesan yang paling besar adalah pada hati2 mereka. Hilangnya ketenangan, dihimpit keresahan dan kegundahan, adalah antara masalah utama yang membelenggu jiwa insan.

Islam adalah agama rahmat.

Agama yang di dalamnya diajarkan sejuta petua dan cara untuk menjadikan kita sebagai manusia yang paling beruntung dalam kehidupan dunia, juga kehidupan akhirat. Segala cara dan petua tersebut, bukan suatu rahsia dari sudut ilmunya. Bahkan segala cara dan petua tersebut wujud di dalam kitab suci bernama Al-Quran dan diajarkan di mana2 sahaja. Salah satu petua yang diajar oleh Islam adalah, bagaimana untuk memberikan ketenangan kepada hati.

Ramai orang hidupnya kelihatan mewah dan senang, tetapi rupanya dia tidak pernah tidur lena pada waktu malam. Begitu juga orang yang zahirnya nampak berkuasa dan berpengaruh, rupanya tidak pernah dapat menikmati hidup yang tenang dan aman. Bukan soal harta, kuasa mahupun pangkat yang tiada pada mereka. Tetapi soalnya adalah hati. Hilang ketenangan, muncullah kecelakaan dalam kehidupan.

Dan ketenangan itu pemberian Allah. Anugerah yang tiada nilai. Bukan boleh dibeli di kedai atau pasaraya. Satu2nya cara adalah meminta kepada Allah Yang Maha Kuasa!

Forum Perdana Ehwal Islam - Cinta Best




Sekadar berkongsi bersama..