Monday, December 26, 2011
hubungan... ???
Sudah Direndahkan, Baru Mahu Merendah
Hubungan dengan manusia sesama manusia sendiri pun, ada waktunya hilang perlahan-lahan. Hilang yang sangat halus pada pandangan mata, sehingga hati itu tidak dapat merasa. Apabila seseorang sudah meninggalkan kita kerana kita asyik dengan diri sendiri dan apa-apa sajalah, maka baru kita akan tersedar tercari-cari manusia itu.
Apatah lagi hubungan manusia dengan ALLAh Ta’ala. Tika ALLAh berikan nikmat kebahagiaan berupa harta dan kesenangan hati, manusia ada yang mudah alpa, lalai dan akhirnya tenggelam dalam kenikmatan itu sehinggalah ALLAh Ta’ala tarik perlahan demi perlahan nikmat yang diberikan.
Bila sudah lemas dalam kesusahan, rendah dalam kepayahan, barulah manusia akan merendahkan diri dihadapan ALLAh Ta’ala. Merintih semahu-mahunya!
Eh, itu bukan penghinaan. Syukur sebab kita masih dipandang oleh ALLAh Ta’ala. Disedarkan manusia dengan sesuatu yang melalaikannya.
Renungkan..
Kehidupan di dunia ini adalah bukan milik mutlak manusia dan bukan satu bentuk ciptaan manusia yang boleh menentukan sendiri matlamat dan arah tujuannya sesuka hati. Sudah semestinya, panduan untuk manusia itu adalah Al-Quran dan As-Sunnah, kerana disitulah terbina hidup yang baik. Manusia tidak boleh dengan sewenang-wenangnya membuat itu dan ini dan membuang prinsip zikrullah dalam hidupnya.
Tetapi, hidup ini sebenarnya adalah satu bentuk ciptaan ALLAh yang telah ditentukan segala ketetapan-Nya dan Dialah yang berhak menentukan fungsi, matlamat dan tujuan hidup seseorang manusia.
Iaitu, sebagai HAMBA. Ya, HAMBA!
Dan hamba itu, wajib patuh dan taat kepada perintah Tuannya. Jika tidak, tentu sahaja ada peringatan. Dan apabila masih tidak patuh, sudah tentu ada hukumannya. Makanya, segala perintah dan larangan-Nya, sedaya upaya kita patuhi.
Anda semua mungkin tahu, dan lebih tahu dari saya. Tujuan utama ALLAh menjadikan manusia adalah untuk mengabdikan diri kepada ALLAh SWT dengan cara melakukan ibadah, melakukan amar ma’aruf dan nahi mungkar. Kalau dipelajari, sangat banyak rahsia alam yang tidak terungkap. MashaALLAh..tujuan dan matlamat yang kedua untuk manusia pula ada menjadi khalifah. Ya, khalifah. Pemimpin.
Khalifah untuk menguruskan, mentadbir dan memakmurkan alam ini. ALLAh hebat kan? ALLAh tidak menjadikan manusia secara suka-suka tanpa tujuan. Mustahil dengan sifat ALLAh yang Maha Sempurna boleh menjadikan sesuatu kejadian tanpa tujuan..
HAMBA
Manusia Sangat Dimuliakan Oleh ALLAh
Manusia dimuliakan oleh ALLAh? Tidak percaya?
Pasti ada yang akan berkata, “manusia itu penuh dengan dosa. mana mungkin.”
...
Hei Sahabat! Kita terlupa mungkin, ketika mana manusia pertama telah dimuliakan oleh ALLAH SWT. Maka, jom tadabburi lagi kalamullah ini.
“Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat, ‘Sujudlah kamu kepada Adam!’ Maka mereka pun sujud kecuali iblis. Ia menolak dan menyombongkan diri dan ia termasuk golongan yang kafir.” al Baqarah : 34
Manusia itu dimuliakan. Namun jangan dilupa, musuh yang selama-lamanya musuh manusia. Iblis dan syaitan sentiasa ada untuk memesongkan hamba-hamba ALLAh. Hatta dalam sekecil-kecil perkara pun seperti di dunia maya ini.
Apa yang penting, bentengkan diri!
Manusia, apabila tahu dirinya sememangnya dimuliakan, tidakkah terdetik dihati manusia untuk tunduk dan sujud lebih lama kepada Tuan Punya Dunia? Tidakkah teringin untuk membalas kemuliaan itu dengan pengabdian? MashaALLAh. Indahnya perasaan sentiasa dalam rahmat ALLAh.
Tidakkah kita sebagai manusia terasa seperti ingin mengalirkan airmata?
Hidup ini, masih tidak terlambat untuk segalanya selagi pintu taubat masih terbuka. Buangkan ego jauh-jauh kerana manusia tidak akan sampai ke mana dengan egonya yang tinggi menggunung.
Hei sahabat. Kita semua hamba. Malah, kita patut merasa lebih kerdil dari sebesar zarah.
Tidakkah manusia ingin dicintai ALLAh? Dimana ketika pada akhirat nanti, manusia melihat wajah ALLAH SWT yang sentiasa dirindukan? Oh, mungkin kita merasa tidak layak. Tetapi jangan lupa, kita masih ada kudrat untuk berusaha.
Pssst! Boleh saya berpimpin tangan dengan kamu berjalan menuju-Nya? Mari, letakkan tangan kamu di atas tangan saya. Biar kita melangkah bersama. Moga berjiran di dalam syurga. MashaALLAh. Subhanallah!
Peringatan yang lebih untuk saya terutamanya.
Semoga ALLAh merahmati
Subscribe to:
Posts (Atom)