Monday, May 2, 2011

*** NIKMAT SYURGA - SEMOGA ALLAH MENGURNIAKAN KITA RAHMATNYA ***

Kenikmatan Syurga

Dari Abi Hurairah r.a : Rasulullah s.a.w bersabda: “Berfirman Allah a.w.j : Aku sediakan kepada hamba-hambaku yang soleh; apa yang tidak pernah dilihat oleh mata,tidak pernah terdengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas dalam fikiran serta hati manusia” (Riwayat Bukhari dan Muslim)



Beberapa Nikmat Syurga Secara Ringkas:



1. Pohon Syurga

Dari Sahl bin Saad r.a sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: (Sesungguhnya di dalam syurga ada satu pohon yang mana berjalan di bawah bayangnya seorang penunggang selama seratus tahun, belum lepas dari bayangnya) Riwayat Muslim



2. Istana, Khemah dan Kamar Syurga

(Az-Zumar) 20. Tetapi (sebaliknya) orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka (dengan mengerjakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya), dibina untuk mereka (di dalam syurga) mahligai-mahligai yang tinggi bertingkat-tingkat, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Demikianlah janji yang ditetapkan Allah; Allah tidak sekali-kali akan mengubah janji-janjiNya.



Sabda Rasullah s.a.w : (Sesungguhnya ahli syurga akan memandang ahli kamar di atasnya seperti kamu melihat bintang di langit meluncur dari ufuk timur atau barat, kerana kelebihan di antara mereka) Para sahabat bertanya: “Itukah tempat para nabi yang tidak sampai kepadanya orang lain?” Rasulullah bersabda: (Bahkan – Demi Allah yang nyawaku dalam tanganNya- lelaki-lelaki yang beriman kepada Allah dan membenarkan para rasul) Riwayat Muslim



3. Pasar Jumaat

Dari Anas bin Malik r.a , sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: (Sesungguhnya di dalam syurga ada satu pasar yang akan dikunjungi oleh penghuninya pada setiap Jumaat. Lalu akan bertiup ke arah mereka angin dari utara lantas menyapu wajah dan pakaian mereka. Kemudian dia kembali kepada keluarganya dalam keadaan bertambah keelokan dan kecantikannya…) Riwayat Muslim



4. Sungai Syurga

(Muhammad: 15) Sifat syurga Yang telah dijanjikan kepada orang-orang Yang bertaqwa (ialah seperti berikut): ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya, dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih. dan ada pula untuk mereka di sana Segala jenis buah-buahan, serta keredaan dari Tuhan mereka.



5. Bidadari Syurga

(Ar-Rahman: 56). Dalam Syurga-syurga itu terdapat bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), Yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan jin;

Sabda Rasulullah s.a.w: (Sekiranya seorang wanita dari bidadari penghuni syurga menjenguk kepada bumi, nescaya akan menyinari setiap yang ada di dalamnya dan akan memenuhi keduanya dengan haruman. Sesungguhnya penutup wajah bidadari di atas kepalanya lebih baik dari dunia dan seluruh isinya) Riwayat Tirmizi.



6. Makanan dan Minuman Syurga

(Al-Waaqiah: 20) Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka pilih,

21. serta daging burung dari jenis-jenis yang mereka ingini.



# AKIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH MENGATAKAN BAHAWA PENGHUNI SYURGA AKAN DAPAT MELIHAT ALLAH. Itulah sebaik-baik nikmat syurga!. Semoga Allah mengurniakan kita kenikmatan melihatNya!



(Al-Qiyaamah: 22) Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri; 23. melihat kepada Tuhannya.

#SABDA RASULULLAH S.A.W : (SYURGA DIPAGARI DENGAN PERKARA YANG DIBENCI DAN NERAKA DIPAGARI DENGAN NAFSU) Riwayat Muslim

*** TAZKIRAH ISLAM: JAUHI SIKAP SALING MENDENGKI,MEMBENCI,BERMUSUHAN & WUJUDNYA PERBEZAAN PENDAPAT ADALAH SATU RAHMAT***

Islam sentiasa menggalakkan sesama Muslim agar sentiasa hidup rukun damai, memberi kasih sayang, membina ukhuwah, menghubungkan silaturahim, bantu membantu dan menyuruh menjauhi permusuhan, tidak mendedahkan keaiban saudaranya, menjauhi perasaan hasad dengki dan fitnah memfitnah

Dari Anas Bin Malik R.A, Bahawa Rasulullah SAW Bersabda (Yg Bermaksud) : "Janganlah kamu saling membenci, saling mendengki dan saling bermusuhan, tetapi jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal seorang Muslim mendiamkan (tidak menyapa) saudaranya lebih dari tiga hari."(Hadis Riwayat Imam Muslim)



Dari Abu Ayyub Al-Anshari R.A, Bahawa Rasulullah SAW Bersabda (Yg Bermaksud): "Tidak halal seorang Muslim mendiamkan (tidak mau menyapa) saudaranya lebih dari tiga malam di mana keduanya bertemu lalu yang ini berpaling dan yang itu berpaling. Yang terbaik di antara keduanya ialah orang yang memulai mengucapkan salam."(Hadis Riwayat Imam Muslim)

Berdasarkan dua hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa seorang Muslim dilarang daripada bermusuhan dan tidak bertegur sapa lebih daripada tiga hari kerana perbuatan ini akan membawa dosa dan dimurkai oleh Allah SWTDi dalam realiti masyarakat kita permusuhan yang berlaku sesama ahli keluarga, jiran sesama jiran, pemimpin bersama rakyat bukan setakat tiga hari tiga malam, malahan berlarutan hingga bertahun-tahun lamanya hanya berpunca daripada selisih faham di antara anak-anak, tidak puas hati pembahagiaan harta pusaka, perbedzaan fahaman politik, tidak terpilih menjadi pemimpin setempat dan sebab-sebab yang lain.Nabi SAW menjelaskan lagi yang paling baik di antara mereka yang bermusuhan adalah mereka yang terlebih dahulu menghulurkan tangan persahabatan dan salam ukhwah dan memulakannya dengan mengucapkan salam.



Rasulullah SAW Bersabda (Yg Bermaksud) : "Kamu tidak akan masuk Syurga sehingga kamu beriman. Dan kamu tidak akan beriman sehingga kamu berkasih sayang. Mahukah kamu saya tunjukkan kepada sesuatu jika kamu lakukan kamu akan berkasih sayang? Sebarkanlah salam antara sesama kamu".(Hadis Riwayat Muslim dari Abu Hurairah R.A).

Islam merai perbezaan pendapat dalam agama. Ujian ini boleh dirujuk kepada firman Allah SWT dalam ayat berikut:

وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ النَّاسَ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلا يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ (١١٨)إِلا مَنْ رَحِمَ رَبُّكَ وَلِذَلِكَ خَلَقَهُمْ وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ لأمْلأنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ (١١٩)



Maksudnya : "Dan kalaulah Tuhanmu menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya umat yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka tidak berselisihan) dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menciptakan manusia." (Surah Hud: Ayat 118-119)

Daripada ayat di atas dapat difahami bahawa, Allah SWT berkuasa untuk menjadikan manusia semuanya bersepakat di atas satu agama, satu pendapat.Akan tetapi Allah SWT sengaja tidak berbuat demikian, maka kerana itulah manusia sentiasa berbeza pendapat. Dalam ertikata yang lain, menjadi fitrah manusia untuk saling berbeza pendapat antara satu sama lain.Pengecualian adalah bagi mereka yang diberi rahmat oleh Allah SWT dimana mereka tidak berbeza pendapat. “Tidak berbeza pendapat” bukanlah bererti mereka semua bersepakat di atas satu pendapat, akan tetapi mereka bersikap terbuka kepada beberapa pendapat yang ada sehingga di sisi mereka, “perbezaan” tersebut sebenarnya adalah satu “kepelbagaian" dan rahmat.Demikian merupakan antara sebab Allah SWT mencipta manusia, sekali gus menjadi ujian bagi mereka. Orang yang gagal ujian tersebut dapat dikenali dengan sikapnya yang sentiasa negatif apabila berhadapan dengan perbezaan pendapat. Orang yang lulus pula, yakni yang diberi rahmat oleh Allah, dapat dikenali dengan sikapnya yang sentiasa positif apabila berhadapan dengan kepelbagaian pendapat.Berdasarkan ayat di atas juga dapat ditegaskan bahawa usaha sebahagian orang yang cuba menyatukan umat Islam di atas satu pendapat adalah sia-sia kerana ia bertentangan dengan fitrah manusia dan kehendak Allah.Sebaliknya usaha sebahagian lain yang cuba membuka umat Islam ke arah bersatu di atas kepelbagaian pendapat, mereka itulah yang berada di atas jalan yang benar, yang akan mendapat rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala.Jauhilah perasaan buruk sangka, janganlah bermegah-megahan dengan harta, pangkat , kuasa dan keturunan kerana kemegahan itu membawa dosa dan permusuhan. Apabila kita berkuasa dalam pemerentahan janganlah menafikan hak rakyat untuk bersuara dan menuntut keadilan, kerana semua tindakkan dan keputusan yang tidak adil akan mendapat balasan dihari akhirat nanti.Mahkamah Allah SWT di hari akhirat adalah seadil-adil mahkamah tidak tidak terlepas walaupun sebesar atom dosa dan kezaliman manusia terhadap manusia yang lain. Firman Allah s.w.t. maksudnya :



Allah SWT Berfirman (yg Bermaksud): "Pada hari ini Kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan." (Surah Yasin: Ayat 65)



Dari Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW Bersabda (Yg Bermaksud) :“Tahukah kamu siapakah dia Orang Muflis?”Sahabat-sahabat baginda menjawab : “Orang Muflis di antara kami, Ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang dan tidak ada harta benda.”Nabi SAW Bersabda (Yg Bermaksud) : “Sebenarnya Orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat , sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu , memakan harta orang orang ini ,menumpah darah orang itu dan juga memukul orang . Maka akan di ambil dari amal kebajikannya serta di beri kepada orang ini dan orang itu , kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis di bayar kesalahan-kesalahan yang di tanggungnya , akan di ambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang di aniayakannya serta di timpakan keatasnya , kemudian ia di humbankan kedalam neraka.”(Hadis Riwayat Muslim dan Turmizi)

Kita perlu berhati-hati supaya tidak menjadi orang yang muflis sebagaimana digambarkan Rasulullah SAW dalam hadits di atas. Datang ke akhirat dengan membawa pahala amal ibadah yang begitu banyak, namun bersamaan dengan itu, ia juga datang ke akhirat dengan membawa dosa yang bersangkut paut dengan orang lain secara negatif ; mencaci, mencela, menuduh, memfitnah, memakan harta tetangganya, mengadu domba dan sebagainya.Sehingga pahala kebaikannya habis untuk menutupi keburukannya. Bahkan kerena kebaikannya tidak cukup untuk menutupi keburukannya tersebut, maka dosa-dosa orang-orang yang dizaliminya tersebut diberikan pada dirinya. Hingga jadilah ia tidak memiliki apa-apa, selain hanya dosa dan dosa, akibatnya ia dicampakkan ke dalam api Neraka. Na’udzubillah min zalik.



Marilah kita perbaiki hubungan kita sesama Muslim, buangkanlah sikap yang buruk dan negatif sesama kita, janganlah kerana kemegahan dan nilai-nilai duniawi kita sanggup menggadaikan nilai ukhrawi kita, kerana sesungguhnya orang yang bijak adalah orang yang buangkan kepentingan duniawinya untuk mencapai kebahagiaan di hari akhirat.Renungkanlah hadis Nabi SAW ini :



Dari Abu Hurairah R.A katanya : "Bahawa Rasulullah SAW Bersabda (Yg Bermaksud) : 'Hindarilah oleh kamu sekalian berburuk sangka kerana buruk sangka adalah ucapan yang paling dusta. Janganlah kamu sekalian saling memata-matai (mencari berita) yang lain, janganlah saling mencari-cari aib yang lain, janganlah kamu saling bersaing (kemegahan dunia), janganlah kamu saling mendengki dan janganlah kamu saling membenci dan janganlah kamu saling bermusuhan tetapi jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara'."(Hadis Riwayat Imam Muslim)