Untuk diriku, dirimu dan kita semua… ini satu pesanan ringkas dariku:
Allah lebih kasihkan hamba-Nya melebihi kasih seorang ibu kepada anaknya. Apabila si ibu sayangkan anak-anaknya, dia akan mengawal anak-anaknya daripada melakukan sesuatu yang boleh membahayakan walaupun sesuatu yang membahayakan itu sangat disukai oleh si anak. Misalnya, anak yang baru belajar merangkak, merangkak di tepi tangga. Dia akan menangis jika dihalang… Mengapa?
Fikiran si anak yang masih kecil tidak boleh menjangkau kebimbangan si ibu. Si anak hanya tahu hendak main sahaja, tanpa mengetahui bahayanya bermain di tepi tangga. Jangkauan fikiran sianak masih cetek dan pendek. Sebaliknya, siibu yang melarang dan menegah sudah nampak bahaya yang bakal berlaku.
Satu ketika yang lain, sianak sakit. Siibu menyuapkan ubat. Anak meluahkannya semula. Pahit. Tetapi puas ibu memujuk, itu ubat. Sianak masih berdegil, lalu siibu memaksa anak meminum ubat itu dengan cara yang lebih keras dan tegas.
Begitu kita dengan Allah (walaupun sebenarnya nisbahnya terlalu jauh). Akal manusia adalah terbatas. Sedangkan ilmu Allah Maha luas. Begitu apabila Allah menetapkan sesuatu peraturan dan kejadian, pasti ada hikmah di sebaliknya. Kekadang, hikmah itu mampu dijangkau oleh fikiran dan adakalanya tidak.
Namun contohilah orang beriman. Apabila Nabi saw menyampaikan perintah Allah, para sahabat akan terus berkata, “kami taat dan kami patuh” walaupun adakalanya perintah itu sangat sukar dan pahit. Dan apabila berlaku satu musibah, para sahabat akan berkata, “telah berlakulah janji Allah.” Mereka bukan insan tanpa perasaan dan fikiran, tetapi apabila iman mendominasi hati, fikiran dan perasaan dipaksa tunduk kepada ketentuan Ilahi.
Bila datang perintah, orang beriman akan memberi respons yang telah digambarkan oleh Allah menerusi firman-Nya:
“Hanyasanya ucapan orang beriman apabila diperintahkan melakukan sesuatu ialah kami dengar, kami taat.”
Manakala apabila mereka ditimpa musibah mereka akan berkata:
“Mereka yang apabila ditimpa musibah akan berkata, kami milik Allah kepada-Nyalah kami akan dikembalikan.”
Mereka yakin setiap perintah Allah seperti solat, puasa, sabar dan sebagainya itu semuanya bermaksud baik belaka. Dan mereka juga yakin setiap musibah seperti kematian, kesakitan, kegagalan, kemiskinan dan sebagainya, pasti ada hikmah di sebaliknya. Justeru, jika kita ingin menteladani mereka, paksalah diri supaya akur dengan setiap perintah dan menerima dengan sabar setiap musibah. Yakinlah, bahawa Allah swt inginkan keselamatan dan kebahagiaan buat kita dengan segala perintah dan musibah-Nya.
Namun begitu, mengapakah masih ramai manusia yang tidak patuh pada perintah dan tidak sabar dengan musibah? Ini semua kerana kurangnya ilmu dan lemahnya iman. Dengan ilmu kita sedar setiap musibah ada hikmahnya. Dengan iman kita boleh menteramkan hati dengan mengingati Allah. Bagi orang-orang yang benar-benar beriman, apa sahaja yang datang daripada Allah adalah baik walaupun buruk pada pandangan diri mereka sendiri. Mereka beriman dengan apa yang Allah swt tegaskan dalam sebuah hadis Qudsi:
“Wahai anak Adam, jika engkau sabar dan mencari keredhaan pada saat musibah yang pertama, maka Aku tidak meredhai pahalamu selain syurga.”
(HR Ibnu Majah (no: 1597)
Tidak salah bersedih dengan musibah. Tidak salah terasa menderita sewaktu mentaati perintah Allah. Namun jangan membantah dengan sombong. Dan jangan bersedih secara keterlaluan. Apakah kita tidak yakin lagi Allah Maha Mengasihi dan Maha Mengetahui?
Alangkah malangnya sianak yang meluahkan ubat yang disuapkan ibunya… Namun lebih malang lagi seorang hamba yang menolak hikmah musibah yang “dihadiahkan” oleh Tuhannya! Dia akan menderita dua kali. Pertama, menderita oleh musibah itu. Kedua, oleh terluput dan tercabutnya hikmah di sebalik musibah itu.
Justeru, jika sekarang aku, kau dan kita dilanda musibah… cubalah tersenyum (walaupun pedih amat), kenang-kenangkan bujukan Allah. Mudah-mudahan kita mendapat jannah (syurga) di sebalik musibah ini! Amin.
From: My Friend Facehawa...
Sekadar berkongsi bersama....