CARA BERDEPAN DENGAN UJIAN
Imam al-Ghazali menyatakan, jika ditimpa musibah, ada lima cara bagaimana
seseorang itu perlu berdepan ujian supaya tidak kecundang.
Pertama:
Jika
menerima musibah atau ujian yang terlalu besar dan berat bagi dirinya, seseorang
itu perlu bayangkan bahawa ada ujian lebih besar dan lebih teruk menimpa orang
lain berbanding apa dialaminya. Sedarilah bahawa setiap sesuatu itu dalam
kekuasaan Allah. Jadi, bayangkan bagaimana jika bencana atau sakitnya
dilipatgandakan Allah SWT, dan adakah kita akan dapat menolak atau
menghalangnya. Oleh yang demikian, seseorang itu perlu bersyukur kepada Allah
kerana Dia tidak menguji kita dengan ujian lebih berat, lebih parah dan lebih
menyedihkan di dunia ini. Jika semuanya ditangani dengan kesabaran, pahalanya
akan berlipat ganda, sedangkan keburukannya dapat dikurangkan berkat kesabaran
ketika menerima ujian.
Kedua:
Datangnya bencana itu mungkin sekali
sebagai musibah kerana kekurangan taatnya dalam agama.
Dalam beberapa hadis,
dinyatakan doa diajar Nabi Isa AS bermaksud: “Ya Allah, jangan menjadikan
musibah kami ini disebabkan oleh kelalaian kami dalam mengerjakan agama.” Jadi,
doa ini boleh ambil dan kita amalkan dalam kehidupan kita.
Ketiga:
Takutilah jika musibah itu menimpa secara berterusan di dunia hingga
akhirat. Oleh itu, terimalah ujian itu dengan sabar kerana lebih baik diseksa di
dunia saja dengan harapan semoga Allah tidak melanjutkan ujian itu hingga semua
makhluk dihidupkan semula di akhirat. Ujian diberi Allah SWT masih dapat
diringankan dengan melakukan hal lain berbanding perihal sewaktu akhirat. Jika
Allah memberikan azabnya di akhirat, pasti kita tidak dapat lari daripada
melakukan pekerjaan lain kerana azab yang diberikan oleh-Nya pasti secara
berterusan. Oleh itu, bersabar dengan ujian Allah sewaktu di dunia dengan
berharap ia sebagai seksaan yang disegerakan oleh-Nya sebagai pengganti seksaan
di akhirat. Bersyukurlah kerana musibah dan azab yang kita terima menyelamatkan
kita daripada seksaan di akhirat.
Keempat:
Setiap bencana atau musibah ditentukan secara pasti dan tercatat
tanpa ada kuasa mampu mengubahnya selain Allah SWT. Ketentuan dan catatan itu
ada sejak azali di Ummul-kitab (buku amalan) yang ada di sisi Allah SWT dan
tetap perlu ditempuh oleh seseorang itu. Jika seseorang itu menghadapi ujian
yang ditetapkan Allah, bersyukurlah dengan berdoa tanpa jemu kepada Allah SWT.
Ingatkan diri bahawa apabila ujian itu berakhir, dia terlepas juga daripada
bencana.
Kelima:
Ketahuilah bahawa pahala diterima seseorang lebih
besar sewaktu mereka ditimpa musibah. Ingatlah, ujian yang diterima bukan beban,
sebaliknya nikmat bagi manusia sebagai bekalan di akhirat. Musibah itu hanya
sebagai ubat pahit yang harus ditelan bagi memberi kebaikan pada masa
depan.
No comments:
Post a Comment