Saturday, October 15, 2011
~ GEMGAMILAH 6 ~
GEMGAMILAH 6 PRINSIP :
[1] Deen hanya akan dapat dirasakan oleh orang yang menegakkan dia dalam dirinya.
Ruh penghayatan Islam benar-benar dirasai kemanisannya bagi yang melalui proses demi proses dalam pembentukan sahsiah muslim. Ianya, bukan berbentuk konsep, teori, berfalsafah atau slogan-slogan kosong tetapi, proses jelmaan dalam keperibadian diri.
[2] Bahagia dan sa’adah hanya akan dirasakan oleh orang yang membela keyakinan, kebenaran dan keadilan.
Kata kunci kebahagiaan itu terletak kepada tiga iaitu yakin, benar dan adil. Ketiga-tiganya didasari dengan akar yang kukuh, kuat dan padu ialah keimanan yang tulen kepada Allah SWT. Kita berhak untuk memilih kebahagiaan, kerana itu pilihlah kebahagiaan yang asli.
[3] Kemenangan dan kejayaan hakiki hanya akan diberikan kepada para pejuang yang rela berkorban, kuat menahankan penderitaan dan kepapaan.
Janji Allah SWT memberikan kemenangan kepada hamba-hambaNya yang melalui liku-liku perjuangan yang panjang dengan bibit kesabaran yang sangat dalam. Sabarnya terbukti dalam sanggup pengorbanan, bertahan dengan penderitaan dan redha dengan kepapaan. Pengorbanan adalah salah satu kunci membuka potensi untuk menjadi pejuang atau rijal yang tinggi ruhaninya dan menjulang himmahnya.
[4] Kesabaran dan ketahanan berjuang hanya akan diberikan kepada Mukmin yang mendekatkan dirinya kepada Allah SWT.
Mukmin yang jiwa dan hatinya sentiasa terikat dengan Allah SWT adalah lambang titik mula kejayaan dalam perjuangannya. Buah kesabaran itu berbenih daripada kebersihan, kesucian dan kejernihan yang suci dalam beriman kepada Allah SWT.
[5] Tegaklah dengan keyakinan dan perjuangan, kerana makna dan guna hidup terletak kepada keyakinan dan perjuangan.
Kehidupan tanpa sebuah keyakinan dan genggaman perjuangan adalah kehidupan yang kosong, hambar dan tiada harapan. Manusia yang punyai perjuangan, adalah manusia yang terarah.
[6] Belajarlah menfanakan diri untuk kepentingan cita-cita dan Islam.
Meleburkan hayat dalam menggapai dan memenuhi cita-cita Islam adalah suatu bentuk kemuliaan pemberian Allah SWT. Menjadi manusia yang terpilih untuk menegakan syiar Islam adalah suatu bentuk kehidupan yang mendekatkan jiwa kepada Allah SWT. Itulah kenikmatan dan kemanisan yang tertinggi dalam menjadi hamba Allah SWT.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment