Friday, April 1, 2011

*******WANITA ISLAM TERBILANG, CEMERLANG DAN SEJATI IMANNYA*******

Peribadi Wanita Islam Sejati.

Wahai wanita Islam sejati!

Lihatlah ke hadapan, tanggungjawab besar menantimu, sebagai pembimbing generasi untuk mewarisi risalah suci. Di kananmu terbentang berbagai bentuk kekayaan yang dihajati setiap diri. Di kiri terkumpul segala bentuk perhiasan dunia yang sangat disenangi hati. Nah, yang mana satu mesti menjadi pilihanmu? Untuk mendapat redha Ilahi wanita solehah pasti memilih yang dihadapan, mengalas tanggungjawab dengan sabar dan yakin akan janji-janji Allah berbanding mendapat habuan yang di kanan atau di kiri!



Sohibah yang dihormati,

Wanita solehah yang sedar terhadap petunjuk agama serta mendalam imannya memiliki keyakinan bahawa Allah telah menetapkan matlamat hidup berdasarkan firman-Nya dalam surah Az-Zariyat ayat 56 yang bermaksud : "Dan ingatlah Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadah kepada-Ku."



Tumpuan menyembah dan beribadah hanya ditujukan kepada Allah yang Maha Pencipta dan Maha Pengatur alam. Dengan kata lain, seluruh penyembahan yang sebenar hanya layak ditujukan kepada Allah s.w.t.



Dengan dasar ini juga Rabiah al-Adawiyah membina kehidupannya seperti yang ditegaskan dalam pendirian seutuh madahnya :

"Kekasihku tiada yang menandingi-Nya. Tidak ada ruang kosong dihatiku selain untuk-Nya, sekalipun Kekasihku tidak dapat ku pandang dengan mata, namun Dia tetap hadir bersama degup jantungku. Dialah yang kusanjung dan kupuja sekalipun orang lain ada di sampingku. Jiwa dan hatiku hanya ku persembahkan untuk-Nya."



Rabiah al-Adawiyah dengan sikap tegas sentiasa mengatakan bahawa hidupnya telah dipersembahkan kepada Allah s.w.t. sahaja. Jiwanya kuat terdorong untuk melakukan ketaatan kepada Allah semata-mata atas rasa kerinduan bertemu Allah. Begitulah sepatutnya pendirian wanita solehah yang sedar dimana keredhaan Allah mengatasi segala keinginan dan mentaati segala perintah Allah mendahului segala matlamat. Mematuhi hukum syarak menguasai jalan kehidupan. Wanita solehah sentiasa berbangga dengan keperibadian Islam seperti yang telah terbukti dalam sejarah awal kegemilangan Islam. Disana terpapar peribadi Muslimah yang mesti dicontohi.



Sohibah yang dimuliakan,

Lihatlah contoh syahidah Muslimah yang pertama bernama Sumayah iaitu ibu kepada Amar bin Yasir. Sumayah bersama anak dan suaminya diheret ke tengah padang pasir yang gersang. Ketika sinar matahari sangat terik dan debu-debu sahara berterbangan, mereka dipakaikan baju besi yang tebal. Ditaburkan pasir yang panas dan ditindih dengan batu lagi pejal.



Gambarkan betapa peritnya penyiksaan pada zaman itu! Sehingga anaknya Amar bin Yasir melafaskan pengakuan palsu bertujuan melepaskan diri. Namun Sumayah dan suaminya Yasir terus berpegang dengan kesabaran. Mereka berdua tetap teguh dengan pendirian untuk menegakkan kalimah 'Laailahaillallah Muhamadur Rasulullah'. Lantas dengan kejam Abu Jahal menikamnya dengan tombak yang akhirnya mengangkat roh Sumayah menjadi wanita Islam pertama mendapat syahid. Dan suaminya pun mengikut jejak langkahnya mendapat syahid apabila tidak mampu lagi menahah kesakitan yang amat sangat ditimpakan keatas dirinya.



Selepas Sumayah, ramai lagi wanita Islam contoh yang sanggup menerima berbagai bentuk penyiksaan semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t.. Penyiksaan dan penindasan tidak melemahkan mereka. Malah mereka semakin sabar, redha dan menyerahkan diri kepada Allah.



Sesungguhnya kebangaan wanita Islam yang sedar terhadap keunggulan peribadi mukminah yang memiliki kekuatan dan kegigihan berhadapan dengan berbagai ancaman telah memberi ketahanan kepada mereka pada setiap zaman. Juga menyelamatkan mereka daripada terjatuh dalam lumpur kekafiran dan melindungi daripada penyelewengan ke dalam gelumbang kebatilan.



Apabila wujud nyalaan bara iman, wanita solehah sepanjang zaman tetap berpegang teguh pada aqidahnya apabila ada pihak luar cuba mencabar dan menguggatnya. Begitulah seperti yang dapat kita lihat keteguhan iman Asiyah isteri Firaun. Meskipun Asiyah dihamparkan dengan berbagai kemewahan dan keindahan perhiasan dunia, namun hatinya tidak dapat diubah untuk mempertuhankan Firaun. Apabila ia tetap berpegang teguh pada aqidah Islam dan menafikan ketuhanan Firaun maka Firaun mengancam untuk meragut nyawanya. Ia tetap teguh dengan penyembahan kepada Allah yang Maha Esa.



Asiyah telah disiksa oleh suaminya Firaun dengan azab yang pedih, namun ia memandang ringan dan sentiasa teguh kesetiaan kepada yang Maha Pencipta. Asiyah sentiasa berdo'a untuk menyuburkan pengharapannya kepada yang Maha Pengasih dan Penyayang hingga akhirnya ia mati syahid dibunuh Firaun. Dalam Al-Qur'an Allah s.w.t. merakamkan do'a Asiyah dalam surah al-Tahrim ayat 11 yang bermaksud : "Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam Syurga dan selamatkan daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas) serta selamatkanlah aku dari kaum yang zalim"



Wahai wanita Islam yang sejati!

Apabila piala hatimu telah dipenuhi kecintaan dan kesetiaan yang mendalam kepada Allah, barulah mudah fizikal dan akal diarah untuk melakukan sebarang bentuk kebaktian. Sesungguhnya kebaktian yang utama dilakukan oleh wanita Islam yang sedar ialah membantu agama Allah supaya syariat Islam mewarnai seluruh hidup insan. Setiap saat seluruh tenaga akan digembeling untuk menyebarkan seruan keyakinan supaya setiap anggota masyarakat menepati tujuan manusia diciptakan.



Oleh itu berhati-hatilah didalam menjalani kehidupan ini, sentiasa berwaspada dan menjaga akhlak dan peribadimu. Jangan kecundang dengan tipu daya dunia dan terpengaruh dengan pujuk rayu anak Adam. Sekiranya kamu kekal dengan status wanita solehah insya Allah pasti kamu akan mendapat kebahagiaan di dunia dan mendapat kemuliaan di hari Akhirat.

No comments: