Bagaimana kita mengenali sahabat kita? Adakah kita benar-benar merenungi wajah-wajah mereka dan cuba menjelajah pelusuk jiwanya hingga kita benar-benar mengenali hati budinya.
Mempertahankan ukhuwah yang terbina memerlukan kepekaan jiwa. Bagaimana seorang ibu yang begitu peka pada perubahan air muka anaknya, begitulah juga ukhuwah yang sejati; kita begitu peka dengan riak senyumannya, perubahan air mukanya, ayunan langkahnya dan sebagainya yang memantulkan segala keresahan atau keadaan jiwanya.
Ya, memang tidak semua manusia peka kepada semua ini tetapi kita yang benar-benar ingin merealisasikan ukhuwah sebenar seharusnya cuba untuk benar-benar mengenali jiwa dan hati budi teman kita. "Adalah menjadi satu keaiban mukmin apabila sahabatnya terpaksa menebalkan muka untuk meminta pertolongan". Kita seharusnya lebih peka dan mampu menyerap kegelisahan hatinya lalu menghulurkan bantuan sebelum diminta. Kita boleh membezakan senyumannya sejati yang lahir dari jiwanya atau senyuman yang dibuat-buat untuk melupakan segala keresahan jiwa yang ditanggung. Saya mungkin ada kelebihannya dalam hal ini kerana memang sejak kecil, hobi saya ialah melihat dan memerhati tingkah laku manusia. Saya sanggup habiskan masa berjam-jam hanya untuk meneliti air muka dan tingkah laku sekelompok manusia di stesyen bas sambil cuba menerka perasaan dan memahami bagaimana tingkah laku dan air muka memantulkan perasaan dan tingkah laku jiwa. Saya juga suka membaca dan melihat dokumentari atau filem yang memberi penekanan aspek ini.
Mungkin sedikit yang saya dapat kongsikan untuk membantu kita mempertahankan ukhuwah, berdakwah dan mendidik manusia untuk mengenali Allah SWT.
Senyuman manusia sebenarnya menggambarkan banyak tingkahlaku jiwa. Ada yang senyum tapi marah, ada yang menyindir, ada yang cuba menyembunyikan kesedihannya dan sebagainya. Seorang saintis dari Perancis Guillaume Duchenne de Boulogne pernah membuat kajian berkaitan hal ini, iaitu mengkaji otot-otot muka yang terlibat ketika seseorang itu senyum. Menurut kajiannya, senyuman manusia dikawal oleh 2 set otot. Iaitu set otot Zygomatic dan Orbicularis oculi. Pergerakan mulut dikawal oleh otot Zygomatic yang bertindak menarik mulut hingga menampakkan gigi, dagu bahkan telinga; mungkin kita pernah dengar orang senyum sampai ke telinga. Otot orbicularis pula mengawal mata; setiapkali manusia tersenyum matanya akan mengecil; ada juga yang ketawa sampai keluar air mata. Perkara yang paling penting untuk kita fahami disini ialah pergerakan Zygomatic dikawal secara sedar manakala Orbicularis adalah tindakan reflek (tanpa sedar). Jadi senyuman buatan hanya melibatkan mulut dan paling jauh sampai ketelinga. Secanggih mana senyuman sahabat kita tetapi jika tidak memberi kesan pada matanya menggambarkan senyuman itu bukan asli. Renunglah matanya dalam-dalam dan abaikan pergerakan mulutnya insyaAllah kita boleh merasai keresahannya jika jiwanya sedang tertekan atau bersedih. Matanya akan menceritakan segala-galanya..samada jiwanya tersenyum atau sedang bersedih.
Renunglah teman anda hari ini dan cuba kenalinya dengan lebih mendalam. Jika kita seorang pendidik atau pendakwah...renungilah wajah mereka dan selamilah segala keresahan dan keperluan mereka kepada hidayah Allah SWT.
No comments:
Post a Comment