Friday, January 6, 2012
Pemiilihan Ketua Untuk Musafir Sampai Mati
Pemiilihan Ketua Untuk Musafir Sampai Mati
Bagi seorang wanita, membuat keputusan untuk menerima seorang lelaki dalam hidup mereka bukanlah satu perkara yang mudah. Berat hati untuk membuat keputusan, apatah lagi keputusan tersebut adalah keputusan yang bakal merubah hidup mereka. Selepas keputusan dibuat, ketaatan yang sebelumnya diberikan sepenuh hati kepada si ayah, kini bakal beralih sepenuhnya ke tangan suami. Dialah ketua, dialah imam dan dialah pemimpin.
Maka sudah tentu, memilih seorang lelaki ke jawatan tersebut adalah suatu yang berat. Kalau dalam bermusafir pun, Nabi s.a.w menyuruh supaya dilantik seorang ketua ; menggambarkan betapa perlunya kepimpinan dalam permusafiran, apatah lagi untuk sebuah perjalanan musafir yang noktahnya adalah sebuah kematian. Sudah tentu, ketua untuk memimpin perjalanan musafir tersebut perlu seorang yang benar-benar layak.
Silap memilih, musibah jawabnya.
Hendak bermusafir ke Kuala Lumpur, tetapi sesat sampai ke Gua Musang. Hendak bermusafir menuju redha Allah, tetapi dipandu ke jalan nafsu dan keseronokan. Itu malapetaka namanya. Sudah tentu, tidak ada mana-mana pun wanita yang mahu bahagia dunia dan akhirat, ingin berpemimpinkan ketua yang seperti itu.
Justeru, sebenarnya bagaimana cara terbaik untuk mengenalpasti lelaki yang masuk melamar atau yang bakal kita pilih itu, benar-benar layak untuk menjadi pemimpin kepada sebuah musafir sampat mati?
Sebenarnya, secara mudah, ciri tersebut disimpulkan oleh Allah ta’ala di dalam Al quran.
Adad dua ciri penting yang disebut dalam ayat tersebut adalah Al qawiy iaitu kemampuan dan Al amin iaitu sifat amanah. Kedua ciri penting ini sekiranya ditekankan dalam pemilihan calon ketua ( suami ) insyaAllah tidak akan menyesal.
Al qawiy
Pastikan bakal ketua ( suami ) yang hendak kita pilih adalah seorang yang mempunyai kemampuan yang cukup bagi menggalas tugas sebagai seorang pemimpin keluarga. Ini termasuklah aspek keberanian diri, komitmen dalam kerja, keseriusan dalam perancangan dan kematangan dalam berfikir.
Kesemua perkara tersebut boleh dinilai pada lelaki tersebut sebelum dia berkahwin.
Jika sebelum berkahwin dia seorang yang tidak serius ,pemalas , pengecut, pasif dan tidak berani membuat keputusan, maka selepas berkahwin tidak ada jaminan pun untuk dia berubah daripada semua tabiat tersebut. Paling tidak, kita berdepan dengan risiko, samada dia berubah dan kita boleh berpaut padanya ataupun dia tidak berubah dan kita akan menderita.
Maka aspek kekuatan pada seorang pemuda itu perlu diperhalusi sebaik mungkin, supaya apabila berkahwin nanti dia benar-benar mampu melaksanakan tugasnya sebagai seorang ketua dan pemimpin kepada kita. Lebih-lebih lagilah kekuatan dari sudut rohani, bukan kekuatan fizikal semata-mata.
Paling baik, pilihlah pemuda yang aktif bersukan dan rajin pula ke masjid. InsyaAllah ciri-ciri Al qawiy itu ada pada dirinya.
Al amin
Hendak amanah sesama manusia, terlebih dahulu mestilah kena amanah dengan Tuhan. Itu sifirnya. Seorang yang tidak amanah dengan Allah mana mungkin akan amanah dengan manusia.
Wanita adalah amanah, yang mana apabila berkahwin, amanah tersebut akan berpindah seratus peratus ke bahu suaminya. Amanah untuk mendidik, mentarbiah, mengajar halal dan haram serta membimbingnya supaya konsisten dengan ibadah serta menjauhi maksiat ; ini semua adalah amanah yang cukup berat.
Dan amanah yang paling asas untuk dinilai adalah solat lima waktu sehari semalam. Jika amanah ini pun tidak mampu ditunaikan, maka apatah lagi amanah yang lain. Kesemua ini penting untuk dinilai bagi memastikan lelaki tersebut benar-benar sedar akan amanah yang bakal digalasnya, bukan sekadar mahu berseronok semata-mata.
Akhlak
Selebihnya, telitilah juga dari sudut akhlak pemuda tersebut. Inilah ciri terpenting bagi seorang yang ‘ada agama’. Islam itu sendiri bukan sekadar solat dan puasa. Islam itu adalah way of life yakni sebuah cara hidup. Bagaimana seorang pemuda itu mempraktikkan Islam dalam kehidupan sehariannya, maka di situlah letaknya ketinggian agama dalam diri pemuda tersebut.
Tidak semestinya apabila disebut perihal pemuda yang beragama, maka terus kita membayangkan dia perlulah seorang ustaz atau seorang yang mahir dalam hal ehwal agama. Tidak semestinya. Lebih penting adalah kefahamannya terhadap agama dan praktikalnya dalam kehidupan sehari-hari.
InsyaAllah, jika tapisan kita benar-benar mengikut ciri-ciri di atas, maka ketua yang bakal kita pilih akan mampu membimbing kita dalam sebuah permusafiran yang cukup jauh. Itulah permusafiran menuju Tuhan, tempat kembali yang kekal abadi.
Semoga Allah permudahkannya AMin untuk anda semua.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment