WANITA SOLEHAH PILIHAN TERBAIK CALON ISTERI
Wanita Solehah Pilihan Terbaik Calon
Isteri
RASULULLAH saw bersabda, yang bermaksud: “Dunia ini penuh
perhiasan dan perhiasan paling indah ialah wanita solehah.” (Hadis riwayat
Muslim).
Hadis ini menunjukkan betapa Islam memandang tinggi kedudukan
wanita dalam kehidupan global.
Berdasarkan al-Quran, wanita digambarkan
dengan tiga fungsi penting.
Pertama, wanita dianggap sebagai fitnah dan
musuh andainya tidak dididik dan diasuh serta dibentuk menurut acuan
Islam.
Kedua, wanita juga ujian bagi seseorang lelaki dalam menerajui
bahtera kehidupan ke arah kebahagiaan.
Ketiga, wanita adalah anugerah
Ilahi yang istimewa kepada lelaki yang mencari kemesraan dan kebahagiaan
hidup.
Islam sebenarnya melahirkan ratusan personaliti wanita terbilang
yang menjadi teladan kepada warga Muslimah dewasa ini.
Rasulullah
bersabda yang bermaksud: “Ada empat wanita mulia yang juga penghulu segala
wanita di dunia.
“Mereka ialah Asiah binti Muzahim, isteri Firaun; Maryam
binti Imran, ibunda Isa; Khadijah binti Khuwailid, isteri Rasulullah saw dan
Fatimah binti Muhammad,” (Riwayat Bukhari)
Asiah adalah simbol teladan
bagi wanita beriman yang tetap mempertahankan keimanannya kepada Allah, meskipun
hidup sebumbung bersama suaminya, Firaun yang tidak beriman kepada
Allah.
Maryam pula simbol wanita dalam ibadatnya dan ketinggian darjat
ketakwaannya kepada Allah serta mampu memelihara kesucian diri dan kehormatannya
ketika mengabdikan dirinya kepada Allah.
Khadijah pula simbol isteri
setia tanpa mengenal penat lelah mendampingi suaminya menegakkan panji-panji
kebenaran Islam, berkorban jiwa dan harta bendanya serta rela menanggung
pelbagai risiko dan cabaran dalam menyebarkan risalah Islam yang diamanahkan
pada bahu Rasulullah.
Fatimah pula adalah simbol pelbagai dimensi wanita
yang solehah; anak yang soleh dan taat kepada ayahnya; isteri yang setia kepada
suaminya serta ibu yang bijaksana membesarkan putera puterinya. Malah, dialah
panduan segala wanita dan juga seorang wanita mithali yang wajar dijadikan
ikutan Muslimah.
Dalam memilih pasangan hidup, Islam menganjurkan setiap
Muslim yang bakal melangkah alam perkahwinan agar berhati-hati.
Kriteria
kesolehan isteri penting dalam kehidupan berkeluarga kerana sifat itu, selain
dituntut Islam, juga bakal menjamin kerukunan dan kebahagiaan rumah
tangga.
Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: “Janganlah kamu
nikahi wanita kerana kecantikannya, kelak kecantikannya itu akan membinsakannya;
janganlah kamu nikahi wanita kerana hartanya, boleh jadi hartanya akan
menyebabkan kederhakaanmu; sebaliknya nikahilah wanita yang
beragama."
“Sesungguhnya wanita yang tidak berhidung dan tuli tetapi
beragama, itu adalah lebih baik bagimu.”(Riwayat Abdullah ibn
Humaid).
Jelas di sini, aspek keagamaan dalam diri seseorang calon isteri
adalah penentu hala tuju sesebuah rumah tangga. Ini kerana dengan agama yang
bertapak kukuh dalam jiwanya, dia pasti akan taat kepada suaminya dalam semua
perkara yang tidak bertentangan dengan perintah Allah dan tidak mendatangkan
mudarat kepadanya.
Isteri solehah juga akan bersifat amanah terhadap
harta benda suaminya, di samping menjaga maruahnya. Ketika ketiadaan suaminya,
seorang isteri solehah memelihara dirinya dan maruahnya seperti tidak boleh
keluar rumah tanpa izinnya, tidak boleh menerima tetamu yang tidak dikenali dan
sebagainya.
Ketaatan dan sifat beramanah seorang isteri solehah ini
banyak dijelaskan oleh firman Allah yang bermaksud: “… perempuan yang solehah
mestilah taat dan memelihara kehormatan dirinya ketika ketiadaan suaminya dengan
perlindungan Allah…” (Surah an-Nisaa’, ayat 34)
Isteri solehah juga
adalah isteri yang sentiasa menyempurnakan keperluan suaminya, di samping
memelihara keredaannya pada setiap masa. Ini kerana keredaan suami menjadi anak
kunci utama yang melayakkannya menjadi penghuni syurga penuh
kenikmatan.
Apa yang paling penting ialah isteri solehah adalah pendidik
dan pengasuh terbaik kepada anaknya, selain penyejuk hati ibu bapa, biarpun ibu
bapanya sudah meninggal dunia, melalui sedekah doa dan amalan kepada kedua-dua
orang tuanya.
Dengan agamanya itu, seseorang ibu akan mewariskan segala
ilmu agamanya kepada anaknya agar mereka kelak akan menjadi anak soleh dan taat,
bukan saja kepada ibu bapa, bahkan taat kepada Allah.
Pengetahuan agama
dan nilai solehah inilah menjadi ramuan terbaik yang boleh melenturkan peribadi
anak, perhiasan akhlak terpuji, mengisi minda dan hati anak dengan keimanan dan
ketakwaan serta membimbing kehidupan ke arah keredaan
Ilahi.
Sesungguhnya, fungsi seorang wanita yang bertindak sekali gus
sebagai isteri dan ibu solehah dalam sesebuah institusi keluarga, begitu
besar.
Justeru, Allah menganugerahkan ganjaran syurga bagi wanita solehah
yang beriman dan benar-benar melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang
isteri dan ibu dalam kehidupan sehariannya.
Sabda Rasulullah yang
bermaksud: “Sebaik-baik wanita itu ialah wanita yang melahirkan anak, yang
penyayang; yang memelihara kehormatannya; yang mulia pada kaca mata ahli
keluarganya; yang menghormati suaminya; menghiaskan dirinya hanya untuk suaminya
tercinta; memelihara diri daripada pandangan orang lain; yang mendengar
kata-kata suaminya dan mentaati segala perintahnya."
“Apabila bersama
suaminya, dia memberikan apa saja yang diperlukan suaminya dan dia tidak pula
menolak ajakannya; serta tidak merendah-rendahkan atau menghina kedudukan
suaminya di hadapan orang lain.” (Riwayat Al Tausi).
WaAllahualam...
Wassalam
No comments:
Post a Comment