Wednesday, January 4, 2012
SELAGI ADA RUANG KESEMPATAN, BERGERAKLAH.
Selagi Ada Ruang Kesempatan, Bergeraklah
Bila ditanya,
“Siapa mahu ke neraka?” Pasti ramai yang enggan ke sana.
“Siapa mahu ke syurga?” Dan pastilah ramai yang mengangguk tanda mahu.
Tapi kan, mana ada yang percuma begitu-begitu sahaja. Apatah lagi untuk memasuki syurga. Juga untuk mendekat kepada ALLAh Ta’ala. Mana boleh kita hanya berniat mahu menjadi orang yang sentiasa dekat kepada ALLAh tanpa melakukan sebarang usaha, dan tiba-tiba kita terus menjadi orang yang jiwanya dekat dengan Dia.
Di ruang kesempatan waktu yang kita ada pada waktu sekarang ini, cukup memberi kita faham bahawa kita hanya mempunyai waktu yang singkat untuk mengumpul bekalan. Jika ditanya pada diri, adakah setiap perbuatan yang kita lakukan itu kita niatkan kerana ALLAh? Adakah kita melakukan sebarang bentuk kebaikan hanya mengharap redha ALLAh? Adakah apa yang kita cita-citakan itu menjurus kepada mardhotillah?
Maka, kerana ruang waktu yang singkat inilah manusia mesti berusaha untuk berebut-rebut melakukan kebaikan hatta sekecil-kecil perkara, dalam setiap sudut kehidupan dan perbuatan. Hei, itu adalah salah satu jalan untuk menuju ALLAh Ta’ala.
ALLAh Ta’ala pernah berfirman,
“Dan untuk (memperolehi kenikmatan syurga) yang demikian itu, hendak berlumba-lumba orang-orang yang berlumba.” – al Muthaffifin : 26
Untuk setiap perkara kebaikan, jika jiwa kita masih hidup, kita sepatutnya akan merasa cemburu kepada orang yang tegar melakukan kebaikan. Cemburu yang baik; yang dapat mendorong diri kita melakukan kebaikan yang sama mahu pun yang lebih. Di dalam masa yang sama, kita menumpang gembira melihat ada manusia yang masih berbudi dan berhati air.
Jangan sesekali kita merasa cemburu dan terdorong untuk ikut melakukan akan perkara kejahatan. Memang. Dalam diri setiap manusia itu punya keburukan tersendiri. Tapi saya yakin satu perkara; Manusia tiada yang jahat 100%, kerana yang jahat seperti itu adalah Iblis. Dan manusia tiada yang baik 100%, kerana manusia yang baik seperti itu adalah malaikat. Dan kita.. Kita hanyalah manusia.
Hanyalah manusia yang berusaha mengikis karat jahiliyyah dalam diri. Dan yang mahu berusaha untuk menanam benih kebaikan dalam diri. Agar benih kebaikan itu nanti akan tumbuh mekar dan menjalar sehingga ke keturunan yang akan datang, yang hakikatnya adalah kebaikan buat diri kita di akhirat sana.
*** Perjalanan menuju ALLAh ta’ala itu adalah sebuah hijrah. Hijrah perubahan dalam diri. Perpindahan dari apapun selain ALLAh, kepada ALLAh Ta’ala.
Hijrah jiwa. Peralihan dari apa sahaja perkara yang tidak diredhai oleh ALLAh Ta’ala, kepada perkara yang diredhai-Nya. Perubahan dari segala perkara yang mengundang murka ALLAh, kepada hal-hal yang dicintai-Nya dan kita juga turut dicintai ALLAh.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment