Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan dan memohon keampunan daripadaNya. Kita juga memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan dan kejelekan amal perbuatan kita. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barangsiapa yang Allah sesatkan tiada siapa yang dapat memberinya petunjuk. Selawat dan salam kepada Nabi kita Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat.
Hari ini tentang عۡبُدُ ('abdun atau hamba) seperti dalam iyyaaka tidak iyyaahu. Perkataan ini maknanya pelbagai:
Kuat/ kukuh seperti besi sehingga dalam bahasa 'Arab bermaksud yang lebar lagi pendekpun disebut 'abdun sebab kuat. Jika panjang tetapi kecil benda tu (mungkin) dah tak kuat.
Ada makna yang berlawanan daripada kuat iaitu lembut.
Tumbuh-tumbuhan yang mengeluarkan aroma harumpun disebut 'abdun.
Jadi jika dirangkaikan kesemua makna di atas iaitu kuat, kukuh, lembut, aroma wangi ini boleh memberi maksud bahawa seorang HAMBA itu mestilah kuat, sentiasa mahu membuat apa sahaja yang disuruh dengan lemah lembut/ ikhlas dan hasil perbuatannya pula mengeluarkan aroma wangi.
Menurut seorang ahlul bait iaitu al-Imam Jaafar as-ssadiq, menyatakan bahawasanya seseorang itu layak disebut hamba Allah apabila memenuhi TIGA SYARAT:
1) TIDAK menganggap segala sesuatu yang ada pada dirinya sebagai hak miliknya (kesannya bila apa-apa sahaja yang ada pada dirinya diambil semula dia tidak berasa kehilangan). Hamba perlu sabar, qanaah dan syukur. Nabi bersabda: "Sebaik-baik kekayaan adalah kaya hati". Sebab bila hati dah terpaut dengan kekayaan, hati akan jadi mati.
Untuk mengubatinya kita kena hayati ayat yang selalu kita baca selepas solat supaya kita menyedari bahawa segala yang ada di langit dan di bumi semuanya milik Allah SWT.
Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu memyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Al-Baqarah 2:284)
2) Segala usaha atau perbuatan hanya tertumpu kepada perintahNya. Maksudnya apa-apa sahaja yang ingin dilakukan kena tanya dulu kepada diri adakah perbuatan itu sesuai dengan perintah Allah atau adakah itu larangan Allah. Jika sesuai dengan perintah Allah teruskanlah tetapi sekiranya tidak sesuai jangan teruskan. Ini selari dengan ayat:
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Adz-Dzaariyaat 51:56)
3) Tidak memastikan sesuatu perbuatan untuk dilaksanakan melainkan dengan mengaitkannya dengan keizinan Allah (Umpanya kita kata 'esok nak bangun awal, esok nak pergi rumah si polan,). Jangan pastikannya sebab manusia sebenaranya tak mampu buat apapun tanpa kehendak dan izinNya. Dengan memahami maksud insyaAllah, seseorang itu akan jadi hamba Allah yang patuh kerana menyedari la hawla wala quwwata illa billah.
Sebelum ini dalam مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ Maaliki yaumiddin dinyatakan bahawa Allah pemilik segala yang maujud, Allah pemilik dunia dan akhirat maknanya kita dah serahkan kepemilikan kepada Allah, bukankah hamba ini tidak ada hak memiliki? Hatta dirinya, serta untuk mengatur hidupnya pun dia tidak berhak. Jika hamba kepada manusia dia dijual beli, jika ingin berkahwin pun kena minta izin dan bila dah diizinkanpun dia kena minta kebenaran pula sekiranya ingin berpindah. Menjadi hamba kepada Allah lebihlah lagi, jadi apabila kita dah berserah kepada Allah apapun yang Allah buat kita tak boleh mempersoalkan. Jika memohon tak dapat janganlah susah hati atau merajuk. Kita tidak ada hak sedikitpun untuk menyoal sebaliknya kitalah yang akan disoal. (Al-Anbiyaa' [21] : 23). Sebagai hamba kita tak boleh soal tentang nikmat, tentang qadar dan qadha' Allah SWT, sebaliknya jika kita buat apa yang Allah larang kitalah yang akan dipertanggungjawabkan.
Jadi bila dah sedar semua ini, kita akan rasa kehadiran Allah SWT dan sedar betaPA kecil dan lemahnya kita di hadapan Allah SWT.
Dalam al-Quran didapati setelah pakar al-Quran membuat kajian ditemui ayat-ayat yang Allah panggil hambaKu, hamba kepada Yang Maha Pengasih dan Penyayang. InsyaAllah jika diberi kekuatan akan sambung kepada siapa Allah panggil hambaKu atau hamba yang dinisbahkan kepadaNya.. apa yang baik daripada Allah dan segala yang tidak baik daripada kelemahan diri ini.
"Ya Allah! Perlihatkan kepadaku (kami) yang benar itu benar dan berilah aku (kami) kemampuan supaya aku (kami) dapat mengikutinya. Ya Allah! Tunjukkan kepadaku (kami) yang batil itu batil dan berilah kekuatan bagiku (kami) menjauhinya".
Mudah2an memberi manfaat..amiin
No comments:
Post a Comment