Jika disebut manis akan dikaitkan dengan penyakit. Begitu jugalah untuk mendapat kemanisan Iman memang ramai yang sakit. [Al-Iman]
Bismillahirahmanirahim.
Segala puji dan syukur hanya untuk Allah, Tuhan yang mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib, penghulu dan penutup segala Utusan Allah. Juga ke atas ahli keluarganya, para sahabatnya, dan para pejuang Sunnah baginda s.a.w. sehingga ke hari kiamat.
Manisnya gula membawa penyakit. Manisnya iman menjadikan orang sakit. Mengapa sedemikian? Bagi membuang penyakit, mesti merasai sakit terlebih dahulu. Seperti sakitnya memakan ubat atau merawat luka. Begitu juga dengan iman. Untuk mencapai rasa manisnya iman, kita mesti melalui 'fasa sakit' itu dahulu.
Bagi buaya darat (maafkan saya kerana terpaksa pakai istilah ini) yang hendak pulang ke pangkal jalan, sudah tentu akan mengalami kesukaran dalam memberhentikan tabiatnya. Tentu sakit untuk menundukkan pandangan. Namun percayalah manfaat besar bagi mereka yang mengikut panduan agama. Dalam sebuah hadith Qudsi, daripada Abdullah bin Mas'ud r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya pandangan mata (yang diharamkan) merupakan panahan beracun daripada panahan Iblis. Sesiapa yang menundukkan pandangannya kerana takut kepada-Ku, akan Aku tukarkan (pandangan) dengan iman yang dapat dirasai kemanisannya dalam hati" (Hadith Riwayat Tabrani dan al-Hakim).
Rasulullah s.a.w juga ada bersabda seperti yang diriwayatkan daripada Abi Umaimah r.a yang bermaksud:
"Tidaklah orang Islam itu apabila dia memandang pada kehormatan wanita kemudian dia menundukkan pandangannya melainkan diberikan oleh Allah S.W.T. suatu ibadah yang terdapat padanya kemanisan (iman) dalam hatinya."
Manusia perlu mengorbankan kesukaan nafsunya seperti suka berfoya-foya, leka dengan cerita-cerita rekaan Barat dan Timur, hanyut dengan permainan video atau laman-laman sosial. Demi meraih kemanisan iman. Ketahuilah, kemanisan iman tiada taranya jika dibandingkan dengan kenikmatan dunia yang bersifat sementara. Antara kemanisan iman adalah terasa hanyut dan sebak mendengar ayat-ayat suci Al-Quran. Rasa khusyuk dalam beribadah sehingga menitiskan air mata. MasyaAllah... Semoga kemanisan iman diperoleh kita semua. Amin.
No comments:
Post a Comment