Thursday, July 19, 2012

Wasiat IMAM SYAFIE




  1. SEBELUM Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat islam seluruhnya.

    Berikut ialah kandungan wasiat tersebut:

    "Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara."

    PERTAMA: HAK KEPADA DIRI.
    Iaitu: Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki ...yang ada.

    KEDUA: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT
    Iaitu: Mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.

    KETIGA : HAK KEPADA KUBUR
    Iaitu : Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.

    KEEMPAT: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR
    Iaitu : Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.

    KELIMA : HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT)
    Iaitu : Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.

    KEENAM : HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI AKHIRAT)
    Iaitu : Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

    KETUJUH : HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA)
    Iaitu : Menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak.

    KELAPAN : HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA)
    Iaitu : Berasa redha dengan Qadha' Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas ni'mat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.

    KESEMBILAN : HAK KEPADA NABI SAW
    Iaitu : Berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.

    KESEPULUH : HAK KEPADA ALLAH SWT
    Iaitu : Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.

No comments: