Thursday, January 12, 2012
Asas persahabatan
Asas persahabatan ialah setia dalam bercinta antara satu dengan yang lain dan tulus-ikhlas dalam berkasih-sayang, selagi ia dihalakan kepada Allah dan kerana Allah, maka pahalanya adalah amat besar.
Sabda Rasulullah s.a.w. dalam sebuah Hadis Qudsi:
"Allah telah berfirman: Pasti mendapat kecintaan~Ku bagi dua orang yang sayang-menyayangi kerana~Ku, dua orang yang duduk bersama-sama kerana~Ku, dua orang kunjung-mengunjungi kerana~Ku, dan dua orang yang tolong menolong kerana~Ku."
Sabdanya lagi dalam sebuah Hadis Qudsi yang lain:
"Berfirman Allah Ta'ala di Hari Kiamat: Mana dia orang-orang yang bercinta-cintaan kerana keagungan~Ku. Hari inilah Aku akan menaungi mereka di bawah naungan~Ku; iaitu hari yang tiada naungan selain naungan~Ku."
Sabdanya lagi: "Sesiapa yang ingin merasakan kemanisan iman, hendaklah ia mencintai seseorang, tiada mencintainya melainkan kerana Allah."
Dalam sebuah sabda Rasulullah s.a.w tersebut: Tujuh orang yang akan dinaungi Allah di bawah naungan~Nya, pada hari tiada naungan selain naungan~Nya. Baginda telah menyebut satu persatu orang-orang itu, sehingga katanya: Dan dua orang saling cinta-mencintai kerana Allah, keduanya berkumpul dan berpisah semata-mata kerana Allah.
Apabila seseorang mencintai orang lain, bersahabat dan membiasakan diri dengannya, kerana dilihatnya orang itu mencintai Allah, dan taat-setia kepada perintah Allah, maka hal sedemikian itulah yang dikatakan bercinta-cintaan kerana Allah Ta'ala.
Ataupun jika ia mencintai orang itu dan bersahabat dengannya, kerana orang itu membantunya di dalam selok-belok agama, dan mengarahkannya untuk bertaat-setia terhadap Tuhannya, maka hal sedemikian itu juga dikira bercinta-cintaan kerana Allah.
Ataupun jika ia mencintai orang itu dan bersahabat dengannya, kerana orang itu boleh membantunya dalam urusan keduniaan, yang mana dengannya ia boleh mengurus urusan akhiratnya, maka itu juga termasuk cinta-mencintai kerana Allah.
Ataupun jika ia mencintai orang itu dan bersahabat dengannya, kerana dirinya merasa senang berkawan dengan orang itu, dan dadanya merasa lapang bila duduk bersama-sama dengannya; atau pun barangkali orang itu dapat menolongnya di dalam urusan keduniaannya, dan di dalam hal-ehwal kehidupannya, yang mana menerusinya ia boleh hidup senang-lenang, maka cinta itu adalah cinta tabi'i, cinta biasa yang tidak ada kena-mengena sedikit pun dengan Allah. Persahabatan itu timbul kerana kecenderungan semata-mata, dan meskipun ia tetap harus hukumnya, tidak sunyi dari kebaikan mudah-mudahan.
Adapun jika ia bersahabat kepada seseorang, kerana orang itu boleh menemannya untuk pergi ke tempat maksiat, atau membantunya untuk menganiaya orang, ataupun memimpin dan menunjuknya ke jalan-jalan fasik dan mungkar, maka persahabatan serupa itu dan kecintaan semacam itu adalah persahabatan yang dicela dan kecintaan yang tidak berguna, kerana ia menarik kita ke jalan syaitan, yang tidak ada kena-mengena sedikit pun dengan Allah. Persahabatan dan kecintaan serupa inilah yang akan bertukar menjadi permusuhan di akhirat, malah kadangkala belum sempat tiba di akhirat, di dunia dahulu sudah menjadi porak poranda.
Firman Allah Ta'ala:
الْأَخِلَّاءُ يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلَّا الْمُتَّقِينَ
"Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh)." [QS az-Zukhruf : 67]
Sekian, dipetik daripada
Kitab Nasihat Agama dan Wasiat Iman,
dialihbahasakan dari
Kitab an-Nasha'ih ad-Diniyah wal-Washaaya al-Imaaniyah
karya Imam Habib Abdullah Haddad,
oleh Ustaz Syed Ahmad Semait.
"Kamu dikira jahil jika cemburu pada suami atau isterimu tetapi tak pernah cemburu pada imanmu sendiri. Kamu cemburu pada suami atau isterimu kerana hawa nafsu dan syahwat, sementara kamu tidak cemburu pada kalbumu kerana Tuhan. Kalau kamu dapat menjaga apa yang menjadi hakmu, mengapa kamu tidak menjaga apa yang menjadi hak Allah?"
[ Imam Ibnu 'Athaillah As-Sakandari r.a.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment