Wednesday, December 14, 2011

JIWA INSANI


Bagi jiwa insani yang renggang dari Tuhan, jiwa insan yang hambar dari kemanisan iman dan hubungan ruhi dengan ilahi, dia akan terus terbayang penolong itu temannya atau orang besar, atau orang berharta, atau orang berkebolehan yang dirasa dapat membantunya. Jika dia sakit, pertama yang terbayang dalam fikirannya wajah para pengubatnya. Jika dia kesesakan harta, dia terbayang sumber-sumber yang bo...leh dia dapatkan wang. Jika ditindas, dia terbayang wajah mereka yang berkuasa yang dia rasa dapat membantunya. Demikian seterusnya.

Jiwa, jantung hatinya sentiasa tersangkut dalam alam makhluk. Tergantung dengan yang lemah sepertinya. Berpaut pada yang rapuh kerana disangkakan kukuh. Lalu Allah pun membiarkannya bersama dunianya yang goyah dan harapan sentiasa terdedah kepada kehancuran. Dia terlupa bahawa betapa ramai pesakit yang gagal diubati. Dia terlupa bahawa betapa ramai yang dikhianati oleh orang yang dipercayai. Dia alpa bahawa betapa ramai yang berkuasa gagal menyelamatkan diri sendiri. Bahkan dia lupa betapa ramai yang berharta, berkuasa dan ternama, Allah kepung hidup mereka dengan pelbagai sengsara. Pergantungan yang sangat lemah. Allah mengingatkan manusia tentang hal ini dengan firmanNya: (maksudnya)


“Wahai manusia, diberikan untuk kamu satu perumpamaan, maka dengarlah mengenainya; sesungguhnya mereka yang kamu seru selain dari Allah itu, tidak sama sekali dapat menciptakan seekor lalat pun walaupun mereka berpakat untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat menyelamatkan kembali. (maka) lemahlah yang meminta (untuk ditunai hajatnya), dan lemahlah yang diminta (untuk menunaikan hajat)”. (Surah al-Hajj: ayat 73).

Demikian perumpamaan yang Allah berikan, gambaran kepada mereka yang bergantung dan menyeru selain Allah dalam mengharapkan pertolongan.

No comments: