Monday, September 5, 2011
*** Tidur seketika pada siang hari umpama cas semula bateri ***
TIDUR seketika pada siang hari atau qailulah adalah kebiasaan masyarakat Arab, beberapa orang soleh dan ulama terdahulu. Mereka melakukannya tidak hanya pada Ramadan, tetapi pada hari biasa, khususnya pada musim panas.
Ulama soleh terdahulu menjadikan tujuan tidur seketika pada siang hari supaya pada malam harinya boleh bangun mendirikan solat tahajud. Oleh itu, tidur siang su dah menjadi kebiasaan atau budaya orang Islam terdahulu.
Dalam sebuah riwayat, Imam Abu Hanifah selama 40 tahun tidak pernah tidur malam kerana malamnya dipenuhi dengan solat malam. Beliau tidur hanya sebentar pada waktu siang hari.
Waktu tidur siang adalah selepas solat Zohor hingga Asar selama beberapa minit iaitu antara 20 hingga 30 minit. Jika bertujuan untuk membolehkan bangun malam untuk solat tahajud, tentu ini adalah sunnah Rasulullah.
Jika tidur siang ini hanya untuk bermalas-malasan, dan malam harinya tidak solat tahajud, Tarawih dan solat sunat lain, apakah nilai sunnah daripada tidur siang ini?
Khalifah Umar bin Khattab pernah suatu hari melakukan lawatan rasmi ke Iskandariah, ketika Muawiyah bin Khudaij menjadi gabenor di kota itu. Umar sampai ke kota itu pada waktu ketika kebanyakan orang tidur siang.
Umar menemui Muawiyah yang tidak tidur sekejap pada siang, lalu berkata: “Saya fikir kamu tidur pada siang ini, kalau kamu tidur siang hari, maka akan melalaikan hak rakyat, kalau kamu tidur malam, kamu melalaikan hak Allah, jadi bagaimana kamu mengatur tidur antara dua hak ini wahai Muawiyah.”
Umar seolah-olah mengingatkan bahawa manfaat waktu itu lebih penting daripada sekadar tidur siang. Intinya, harus mengimbangi dalam menggunakan waktu tidur siang (yang hanya seketika bukan sepanjang hari) meskipun pada Ramadan.
Sahabat Rasulullah SAW menjalani puasa Ramadan dengan tugas yang cukup berat seperti Perang Badar dan penaklukan Makkah.
Ini semua petunjuk bahawa puasa bukan untuk menjadikan kita bermalas tetapi pencetus semangat supaya memberikan yang terbaik meskipun dengan keterbatasan kecerdasan fizikal sebagai orang berpuasa.
Malah, tidur seketika pada siang umpama mengecas semula bateri kehidupan untuk beramal pada malam hari.
Tengah hari adalah masa paling sesuai untuk tidur seketika kerana sistem badan manusia secara biologi bersedia untuk memanfaatkan fasa tidur pada waktu itu.
Kajian menunjukkan mereka yang secara rutin tidur 30 minit pada waktu tengah hari mempunyai risiko menghidap sakit jantung 30 peratus lebih rendah berbanding mereka yang lain.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment