Sunday, September 11, 2011
Puasa sunat Syawal bantu ummah sentiasa istiqamah
Oleh Ashraf Muslim
Semangat Ramadan melawan nafsu berterusan
SELEPAS enam hari meraikan Aidilfitri dan bercuti panjang, rasanya hari ini ramai yang mengambil kesempatan memulakan puasa sunat enam hari pada Syawal, walaupun tidak dinafikan ada yang sudah memulakannya sejak Syawal kedua lagi.
Puasa sunat Syawal adalah sambungan daripada amalan puasa Ramadan yang diwajibkan ke atas semua umat Islam. Pastinya kita tidak mahu ketinggalan mendapat ganjaran disediakan untuk mereka yang melaksanakannya.
Daripada Abu Ayyub al-Anshari, katanya Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan, kemudian diiringi puasa enam hari pada Syawal, maka yang demikian itu seolah-olah berpuasa sepanjang masa." (Hadis riwayat Muslim)
Pelaksanaan puasa sunat Syawal juga sebagai pendorong kepada kita untuk sentiasa istiqamah dalam melakukan amal kebaikan kerana selepas diberi hari mulia meraikan kejayaan melawan nafsu sepanjang Ramadan, hati masih kental berpuasa pada saat mencabar.
Maklumlah, tatkala orang lain menikmati juadah dihidangkan meraikan Aidilfitri, kita terus menahan diri dengan berpuasa sunat yang digalakkan dilaksanakan secara berturut-turut. Ini tanda kejayaan serta peningkatan takwa kepada Allah.
Lagipun, seperti puasa Ramadan yang datang hanya setahun sekali dan tidak pasti apakah kita masih berpeluang bertemu Ramadan akan datang, sama juga dengan puasa sunat Syawal yang dilaksanakan sepanjang Syawal saja.
Bagi yang terlepas peluang berpuasa enam kali ini (diharap tidaklah kerana Syawal masih ada beberapa minggu lagi), untuk menanti Syawal akan datang lambat lagi dan timbul juga persoalan apakah kita masih berkesempatan.
Bercerita mengenai istiqamah atau melakukan amal baik secara berterusan itu mengingatkan saya kepada mereka yang datang mendapatkan rawatan di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, yang hingga hari ini terus sabar dan tekun mengamalkan bacaan al-Quran sebagai penawar penyakit dihidapi.
Pastinya, kaedah rawatan menggunakan ayat al-Quran yang memerlukan mereka membaca surah tertentu turut diteruskan sepanjang Ramadan dan alangkah beruntungnya mereka terutama jika usaha itu diteruskan dengan amalan bertadarus.
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Bacalah al-Quran kerana ia akan datang pada hari Akhirat kelak sebagai pemberi syafaat kepada tuannya." (Hadis riwayat Muslim)
Membaca al-Quran ibadah yang boleh mendekatkan seseorang kepada Allah. Pahalanya amat besar iaitu sesiapa membaca satu huruf daripada al-Quran, ganjarannya satu kebaikan dan sepuluh ganjaran yang sama dengannya.
Tidak dinafikan istiqamah memerlukan daya semangat juang yang tinggi kerana hasrat melakukan kebaikan selalunya berdepan pelbagai cabaran yang datang dari kelemahan diri sendiri serta tekanan faktor sekeliling.
Justeru, doa yang menjadi senjata ampuh umat Islam dapat membantu kita supaya sentiasa diberi semangat serta kekuatan oleh Allah untuk berdepan apa saja dugaan yang mendatang.
Contohnya, bagi pesakit yang masih diuji dengan proses penyembuhan yang agak perlahan mungkin sekali sekala wujud perasaan putus asa. Ini cara Allah menduga sejauh mana kesungguhan serta keyakinan mereka.
Seperti selalu saya katakan, memang mudah untuk meminta mereka bersabar tetapi bak kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Bagi yang kuat semangat, dugaan ini dihadapi dengan reda serta kesabaran jitu.
Sebenarnya, dalam apa juga yang kita lakukan, sifat istiqamah penting bagi memastikan usaha itu tidak terhenti di pertengahan jalan. Memang akan ada masa turun naiknya kerana sebagai manusia kita berdepan pelbagai cabaran.
Saya sendiri ada kala berdepan dugaan untuk menyusun jadual diri khususnya dalam menentukan keutamaan iaitu mana hendak didahulukan kerana semua memerlukan perhatian sewajarnya. Tambahan dengan perubahan status sebagai suami, tanggungjawab dan perhatian bertambah.
Selepas mengambil keputusan untuk berbakti kepada masyarakat melalui penubuhan Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, saya akur dengan jadual kehidupan dan sentiasa berdoa supaya dapat melakukan yang terbaik.
Berkat sokongan keluarga, sahabat serta mereka yang banyak memberi ilham dan menjadi daya kekuatan, saya berharap untuk terus istiqamah dengan apa dilakukan. Semoga hasrat serta impian memartabatkan perubatan Islam serta mukjizat al-Quran tercapai.
Sempena bulan mulia ini, saya memohon maaf jika ada kesalahan atas kelemahan diri kepada semua yang pernah berurusan dengan saya dan Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah. Terima kasih di atas sokongan dan doa semua pihak yang berkongsi perjuangan ini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment