Friday, July 29, 2011

*** Aqidah Islam Dasar Kehidupan ***




Semenjak kewujudan Adam dan Hawa di muka bumi ini, sudah ternyata bahawa manusia memerlukan peraturan hidup yang sesuai dengan fitrah mereka. Manusia memerlukan peraturan hidup yang boleh memberikan keadilan sejajar dengan sifatnya sebagai insan, boleh mendisiplinkan tingkah laku serta memandu mereka mencapai keredhaan Allah di dunia dan akhirat.
Sudah tentu peraturan yang diperlukan itu bukanlah sebarang peraturan. Sebaliknya manusia memerlukan peraturan yang boleh meninggalkan kesan kepada jiwanya lalu menyuburkannya sehingga mampu mengawal segala tingkah laku serta cetusan perasaan dan pemikirannya.

Peraturan itu ialah peraturan rabbani (tasyri’ samawi). Hanya peraturan rabbani sahaja yang mempunyai kemampuan demikian dan tidak mungkin dapat dicapai menerusi peraturan yang dihasilkan oleh tangan manusia.

Manusia tidak mungkin mencapai darjat kesempurnaan menjadi insan kamil selagi mereka sendiri yang menentukan peraturan, ideologi dan jalan hidup mereka. Mereka tidak akan menikmati kesejahteraan sejagat yang sebenarnya walaupun di sekeliling mereka penuh dengan kebaikan dan beraneka rupa kenikmatan.

Sebenarnya manusia tidak boleh menolak hakikat bahawa mereka memerlukan sistem yang unggul iaitu Islam. Bahkan akal yang bersih juga akan mengakui bahawa tiada syariat yang layak dijunjung selain syariat Allah SWT.

Islam adalah din yang menjamin keunggulan fitrah manusia. Oleh itu, Islam tidak menentang pembangunan selagi pembangunan itu berpaksikan kepada aqidah Islam. Malah itulah kekuatan yang sebenarnya. Dengan perkataan lain, keimanan kepada Allah SWT adalah pasak kekuatan bagi sebarang bentuk pembangunan.

Sejarah sendiri membuktikan kedatangan Islam membawa pembangunan kepada umat manusia dan dunia. Sebaliknya keruntuhan tamadun yang berlaku kemudiannya kerana keimanan kepada Allah tidak lagi menjadi dasar kepada pembangunan manusia dan dunia. Akibatnya, sewaktu pemikiran manusia dibangun dan dikembangkan, pada masa yang sama keruntuhan akhlak terus bermahara-jalela. Krisis nilai terus berlaku dan manusia diperhambakan di mana-mana. Inilah natijah yang berlaku apabila manusia tidak mengambil din Allah SWT sepenuhnya sebagai sistem hidup.

Begitu juga dengan potensi semula jadi serta ilmu yang dimiliki manusia sama sekali tidak bertentangan dengan Islam jika diasas, dikembang serta digunakan berdasarkan aqidah kepada Allah SWT. Potensi semula jadi manusia sangat berguna untuk mempelajari ilmu bagi meningkatkan keimanan, ketaatan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Begitu juga dengan ilmu yang diasaskan di atas dasar yang betul akan berkembang membawa manusia mengenal penciptanya dan menggerakkannya menenuhi tuntutan perhambaan kepada Allah SWT.

Manusia wajar menyedari hakikat fitrah kejadiannya yang sangat berhajat kepada taufik dan hidayah Allah SWT. Oleh itu, manusia dituntut untuk mengenal penciptanya, Allah SWT. Firman Allah yang bermaksud:

“Maka ketahuilah bahawa sesungguhnya tiada tuhan melainkan Allah....” (Muhammad: 19)

Ada dakwaan yang mengatakan manusia boleh bergantung kepada akal semata-mata untuk menempa kesejahteraan global. Sebenarnya dakwaan itu hanyalah satu andaian yang mempunyai muslihat.

Sejarah menunjukkan tamadun manusia yang tidak dihubungkan dengan wahyu Ilahi atau aqidah Islam membangunkan satu bahagian dan pada masa yang sama meruntuhkan banyak bahagian lain. Yang lebih buruk ialah keruntuhan kemanusiaan insan serta mewarisi kesesatan dalam kepercayaan. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami telah meneguhkan kedudukan mereka dalam hal-hal yang Kami belum pernah teguhkan kedudukanmu dalam hal itu dan Kami telah memberikan kepada mereka pendengaran, penglihatan dan hati tetapi pendengaran, penglihatan dan hati mereka itu tidak berguna sedikit jua pun bagi mereka kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan mereka telah diliputi oleh seksa yang dahulu selalu mereka perolok-olokkan.” (Al-Ahqaf: 26)

Kekuatan akal sahaja tidak akan membolehkan manusia mengenal pasti semua perkara yang bermanfaat dan mudarat kepada kehidupan mereka kecuali orang yang diselamatkan dengan panduan dan suluhan aqidah.

Daya penerokaan akal sebenarnya terhad kepada kekuatan dan ruang lingkup yang dapat dicapai menerusi penglihatan. Mata semata-mata sebenarnya tidak akan berfungsi tanpa bantuan cahaya sekalipun mata itu berada dalam keadaan sihat dan selamat.

Begitulah juga dengan akal manusia. Sekalipun waras, akal akan menjadi lemah dan tergelincir dari landasannya jika tiada bantuan syara’ serta bimbingan para nabi dan rasul. Kelurusan akal fikiran dan kesuburannya yang berterusan hanya terjamin apabila pemikiran itu sentiasa berada di atas hidayah dan petunjuk Allah SWT.

No comments: