Sunday, April 3, 2011

***CINTA @ LOVE *** :)

Bila sebut cinta Allah pasti ada hubungkait antara kita (manusia) dengan Allah; bagaimana sikap seorang hamba kepada Allah.





Jika kita bercinta sesama manusia kita berusaha mencari titik keserasian antara kita tetapi adakah kita berusaha mencari titik pertemuan dalam semua perkara supaya serasi dengan perintah Allah?





Apakah kita telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencintai apa-apa yang Allah cintai dan membenci apa-apa yg Allah benci?





Adakah bersesuaian sikap kita dengan apa yang Allah suka dan apa yang Allah benci?





Dalam al-Quran banyak menyebutkan bahawa hanya orang-orang yang membawa hati yang sejahtera sahaja yang akan menemui Allah atau diterima Allah.





Oleh itu proses takhalli, tahalli dan tajalli perlu ditempoh (dengan berusaha bersungguh-sungguh) oleh setiap orang bagi memastikan mendapat hati yang sejahtera.





Banyak sifat-sifat mahmudah yang perlu disemaikan dalam jiwa kita untuk mendapatkan hati yang sejahtera yang akhirnya diterima oleh Allah.





Sifat pertama yang perlu ada pada kita ialah:





CINTA KEPADA ALLAH atau HUBBULLAH atau MAHABBATULLAH.





Dalam dunia akhlak, CINTA KEPADA ALLAH merupakan tempat persinggahan bagi sesiapa yang berjalan menuju Allah, menjadi santapan hati, makanan roh; ertinya hati sentiasa sihat dan kenyang apabila ada rasa cinta kepada Allah; CINTA KEPADA ALLAH merupakan kehidupan sehingga orang yang memilikinya tidak pernah mati, CINTA KEPADA ALLAH ialah cahaya/ nur, sesiapa yang memiliki cinta ini tidak akan merasai kegelapan. Cinta adalah kelazatan, sesiapa yang memilikinya pasti tidak merasai kesengsaraan. Cinta pasti menghantar seseorang ke tempat tujuan yang hendak dicapai, bahkan sesiapa yang ADA PADA HATINYA CINTA KEPADA ALLAH digambarkan oleh Allah hamba yang paling ideal. DIA MENCINTAI ALLAH DAN ALLAH MENCINTAINYA. Ini digambarkan oleh Allah dalam surah Al-Maaidah ayat 54











Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah daripada agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya. (Al-Maaidah [5] : 54)





Dalam ayat di atas Allah beritahu ciri-ciri manusia yang paling ideal yang memenuhi syarat CINTA KEPADA ALLAH, MANUSIA YANG PALING DEKAT DENGAN ALLAH; iaitu kecintaan mereka kepada Allah sehingga Allah juga cinta kepada mereka, mereka merendah diri kepada orang-orang mukmin, kerana Allah mencintai orang-orang Mukmin: mereka bersifat tegas kepada orang-orang kafir kerana Allah juga bersikap keras terhadap orang-orang kafir; mereka sanggup berkorban dan berjuang bersungguh-sungguh menegakkan agama Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang. Mereka tidak rasa terhina apabila dihina oleh orang asalkan kekasihnya melihatnya mulia, sebaliknya mereka rasa terhina jika kekasihnya (Allah) menghinanya walaupun seluruh dunia memujinya. Jika kita cinta sesama pasanggan kita kita sanggup berkorban apa sahaja. Jadi untuk cinta Allah dan Allah membalas cinta kita syarat-syarat di atas perlu ada. Apalah erti CINTA jika tidak sanggup berkorban lebih-lebih lagi kepada Allah.





Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyah dalam bukunya berkenaan 'IYYAKA NA'BUDU WAIYYAKA NASTA'IIN' menghuraikan tentang kecintaan kepada Allah. Harus diingat Allah amat mencintai alam dan segala isinya. Allah mencipta makhluknya dengan penuh rasa cinta, lebih-lebih lagi kepada khalifahnya iaitu manusia. Allah menyayangi makhluknya 70 kali lebih ibu menyayangi anaknya.





Menurut Imam Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyah ini ada 10 tahap kecintaan kepada Allah:





Tahap Pertama: 'Alaqah.





Tahap yang paling rendah, Secara harfiah maksudnya ada hubungan, kebergantungan, kaitan (connection). Kita dah berusaha mengingat Allah bukan sahaja ketika kita susah atau senang malah setiap saat kita mengingatiNya (tak pernah lupa walaupun sesaat dan tidak pernah jauh walaupun seinci) yakni kita berhubung dengan Allah. (Seringkali manusia lupa Allah bila senang, sihat atau kaya tapi ingat (berhubung dengan Allah) ketika susah, sakit atau jatuh miskin). Bila dah agak senang kita agak renggang dengan Allah sebab kita rasa dah boleh berdikari. Jika yang asas inipun tidak kuat agak susah nak naik ke tahap yang lebih tinggi.





Jadi cubalah usaha menyatukan hati kita dengan Allah dengan mencuba menyukai apa yang Allah suka dan membenci apa yg Allah tak suka, maknanya buat apa yang Allah suruh dan tinggalkan apa yang Allah tak bagi buat.





Ingatlah akan sabda Nabi tentang 7 golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah pada hari akhirat, salah satunya ialah dua orang bani Adam yang saling menyintai kerana Allah, berjumpa dan berpisah kerana Allah.. Jika hati sudah terpaut dengan ciptaan Allah, peraturan Allah, redha dengan ketentuanNya, mensyukuri nikmatNya bermakna kita sudah ada CINTA ALLAH tahap pertama ini. Bila dah ada CINTA tahap ini alhamdulillah, ini dinamakan buih-buih cinta/ benih-benih cinta, bila ada tanda-tanda ini maknanya kita sudah meresapkan sifat-sifat Allah ke dalam diri kita. Kita akan suka apa Yang Allah suka dan benci apa yang Allah benci. Kita buat semua ini kerana cinta, kita takkan berputus asa/tidak sabar sebagaimana semasa kita mendidik anak-anak kita sabar menegur berkali-kali.





Tahap Kedua: Iradah.





Maknanya kehendak, kecenderungan untuk mencari/menemui orang yang dicintai/yang dicari.





Bila hati dah tergerak mencintai iaitu sudah ada benih-benih cinta, sudah terpaut kita mesti berkehendak atau cenderung untuk mencari, jika yang kita cintai itu adalah manusia kita akan cari alamat rumah, bila dah jumpa tentu kita jumpa kekasih kita. Mustahil jika kita dah ada rasa cinta kita tak mahu mencari, kita akan cari alamat dan akan cari rumahnya (jika kita dah tahu alamat tapi tak nak cari maknanya tak berertilah cinta). Lalu di mana nak cari Allah? Carilah Allah melalui ciptaan Allah.. Carilah sebagaimana Nabi Ibrahim mencari Allah swt melalui bulan, bintang dan matahari serta semua ciptaan Allah, selalu orang sebut Zikir dan Fikir (Tazakkur dan tafakkur).





Tahap Ketiga: Sobaabah.





Maknanya; Mencurahkan/menumpahkan/menuangkan (cuba bayangkan tuang atau curah air daripada satu baldi penuh jika guna baldi, bukan menyiram sedikit-sedikt).





Ini bermaksud mencurahkan sepenuh hati rasa cinta. Cinta yang tak dapat dibendung lagi, bukankah dikatakan mencurahkan air yang banyak, bila dicurahkan air yang banyak tentu melimpah. Bila rasa kasih seperti ini tentulah bila kekasih panggil dia segera datang, orang lain panggil tak dengar dah, bila kekasih buat temujanji, temujanji yang lain-lain batal. Bila seruan Haiyya 'alas solah, Haiyya 'alal falah tinggalkan segera kerja-kerja lain tanpa tangguh seminitpun kerana panggilan kekasih lebih penting daripada yang lain-lain. Itulah cinta pada tahap ini. CINTA dicurahkan hanya kepada Allah.





Tahap Keempat: Gharab





Maksudnya menyala-nyala/ berkobar-kobar. Cinta yang tak boleh dipisahkan lagi sebagaimana Laila dan Majnun, tatkala ini panas terik atau hujan lebat dan guruh berdentumpun tak terasa.





Cinta peringkat ini semuanya indah belaka, tersangat puas ( perasaan yang sangat sukar nak digambarkan, seumpama nak terangkan pedas cili kepada orang yang belum pernah makan cili) setiap orang yang bercinta pasti pernah merasai ini, alangkah baiknya jika cinta seumpama ini ditujukan kepada Allah, sebagaimana bahagianya Ashabul Kahfi di dalam gua padahal apalah yang ada dalam gua.





Tahap Kelima: Widad





Widad iaitu menyatakan cinta/kasih sayang dengan perbuatan; atau kasih sayang yang diterjemahkan melalui perbuatan; rela berkorban apa sahaja; ini boleh dikaitkan dengan mawaddatan wa rahmah yang Allah kurniakan kepada pasangan suami isteri. Apakah yang dapat kita fahami daripada dua perkataan ini? Dua-dua perkataan ini maksudnya sama iaitu kasih sayang dan belas kasihan. Mawaddah bermaksud kasih sayang dan belas kasihan yang ditunjukkan melalui perbuatan manakala rahmah tidak melalui perbuatan. Contoh: Pasangan ketika muda, masih bertenaga, mereka boleh menunjukkan kasih sayang dengan perbuatan dan juga melalui luahan perasaan dan sebagainya tetapi apabila pasangan ini sudah tua, katakanlah seorang usianya sudah 95 manakala pasangannya pula 85, tak mampu lagi keduanya saling melayan sesama mereka, nak menyuap makanan ke mulut masing-masingpun mungkin sudah tak berdaya lagi tetapi perasaan mereka masih kuat saling menyayangi, yang ini rahmah.





Dalam Surah Ar-Rum Ayat 21 Allah SWT berfirman:











Maksudnya: "Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untukmu (wahai golongan lelaki) isteri-isteri daripada jenismu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan antara kamu (suami isteri) kasih sayang dan belas kasihan, sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan yang menimbulkan kesedaran bagi orang-orang yang berfikir." (Ar-Rum [30] : 21)

Ramai yang mengaku cinta Allah tetapi ramai yang tidak dapat tunjuk. Sebab itulah Allah bagi petunjuk dalam ayat 31 Surah Ali-Imran:











"Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani". (A-li'Imraan [3[ : 31)



Allah menyuruh Nabi memberitahu kita dengan berkata: "Wahai manusia yang mendakwa cinta kepada Allah! Kamu kena tunjuk dengan perbuatan, kamu kena ikut apa yang aku suruh. Bila kamu dah buat seperti aku barulah Allah mengasihi/mencintai kamu dan mengampunkan dosa kamu". Begitulah yang dinamakan widad - kena buat/kena amal.



Jika tak ada syarat ini tiadalah istilah pengorbanan. Pengorbanan di sini ialah ikulah rasul jika mahu cinta dibalas oleh Allah.





Tahap Keenam: Shaghaf





Maksudnya memujuk/ merayu kerana cinta yg mendalam menusuk /meresap ke lubuk hati sebagaimana cinta Zulaikha kepada Nabi Yusof seperti dalam surah Yusof ayat 30 di bawah:











Maksudnya: "Dan (sesudah itu) perempuan-perempuan di bandar Mesir (mencaci hal Zulaikha dengan) berkata: Isteri Al-Aziz itu memujuk hambanya (Yusuf) berkehendakkan dirinya, sesungguhnya cintanya (kepada Yusuf) itu sudahlah meresap ke dalam lipatan hatinya; sesungguhnya kami memandangnya berada dalam kesesatan yang nyata." (Yusuf [2] : 30)





Boleh baca kisah cinta Zulaikha kepada Nabi Yusuf as klik





Cinta pada tahap ini meresap ke dalam hati, tak kisah apa orang nak kata, biarpun Zulaikha itu isteri kepada penguasa Mesir (al-Aziz) dia tak kisah mencintai Yusof yang entah daripada mana asalnya, hamba pula kepada al-Aziz. (tentulah kita tak disuruh berakhlak seperti Zulaikha ini - kisah dalam al-Quran adalah sebagai teladan dan sempadan buat kita) tapi kisah ini nak tunjukkan tahap cinta peringkat shaghaf ni dia tak kisah apa orang nak kata.





Ini samalah dengan ayat Al-Maaidah 54 tadi. Nabi Muhammad saw pun ketika orang-orang kafir mencela, Nabi tetap CINTA ALLAH. Kalau kita berada pada tahap ini kita berdakwah kita tak takut orang-orang sekeliling menyindir kita. Samalah juga seperti Nabi Ibrahim ketika nak menyembelih Nabi Ismail tentu jika orang melihat orang akan mencelanya (bukankah perkara gila nak sembelih anak sendiri?) tetapi kerana Cinta Allah melebihi segala-galanya Nabi Ibrahim as tak peduli apa orang nak kata.





Dalam hal ini jika kita buat yang betul biarlah orang menghina kita. Contohnya jika kita ke Mekah mengerjakan haji kita terpaksa pilih pakej termurah, berjalan kaki, tidur beralaskan lengan bertilamkan tanah berbumbungkan langit pun tak mengapa asal kita CINTA ALLAH; inilah shaghaf. Dalam keadaan apapun kita, ketika sakit, bila kita bergerak sedikitpun kita rasa sakit kita tetap buat perintah Allah; inilah SHAQAF.





Tahap Ketujuh: 'Isqun atau 'asyik (bukan Khayal)





Makna mendapat kepuasan, ketenangan, kebahagiaan. Ketika pada tahap shaghaf tadi, mula-mula rasa tertekan tetapi akhirnya walaupun dikutuk dia mendapat kenikmatan, nikmat sabar, nikmat syukur dan nikmat ridha. Kenapa Nabi Muhammad saw berdoa: Ya Allah jadikan hambaMu ini sehari kenyang dan sehari lapar? Sebabnya ialah kerana Nabi ingin jadi hamba Allah yang bersyukur, dan sabar, baginda ingin mendapatkan kepuasan / nikmat syukur selepas kenyang dan nikmat sabar ketika lapar.





Bagi orang-orang yang 'isqun; sabar itu pahit. Pepatah Arab mengatakan "Kesabaran itu seperti bakawali, pahit rasanya tetapi akibat/kesudahannya lebih manis daripada madu". Orang-orang yang 'isqun ini merasai kemanisan bersabar dan kenikmatan dalam berjihad. Cuba kita kaitkan dengan perasaan kita ketika kita ada anak yang masih bayi, masa tu kita masih lagi belum sihat (ibu-ibu dalam pantang) bila bayi terjaga kita yang mengantukpun tak terasa; itulah namanya asyik jaga bayi, tak terasa sakit, mengantuk ataupun penat. Walaupun sebenarnya kita sedang sakit, mengantuk dan penat tapi kita puas jaga bayi kecil kita, itulah kenikmatan yang dirasakan. Cuba buat seperti ini kepada Allah, tetapi biasanya orang asyik kepada umpamanya berkayak, bermain golf, jungle tracking, bernang selat Inggeris, mendaki gunung, cuba tanya kepada mereka ini sama ada mereka penat atau tidak? Tentu jawapannya penat tetapi puas.





Tahap Kelapan: Tataiyyum





Berasal daripada perkataan anyutmu, mufradnya yutmun maksudnya sendirian umpama anak yatim yang ditinggalkan (kematian) ibu bapanya/ keseorangan.





Peringkat cinta seperti ini ialah merendahkan diri/bersendirian. Jika cinta Allah dia merendahkan diri kepada Allah swt, merasa sendirian sama seperti anak yatim, dia merasai tak punya apa-apa kecuali ALLAH SWT, walaupun dia berada di tengah-tengah keramaian selagi dia tak merasa berada di sisi kekasihnya dia rasa sepi. Setelah dia berasa berada di sisi kekasihnya dia rasa kaya. Nabi bersabda dalam hadis Qudsi : Allah swt berfirman: "Wahai anak adam! carilah oleh kamu akan Aku pasti kamu mendapatkan Aku dan jika engkau telah berjaya mendapatkan Aku, engkau telah mendapat segala-galanya jika kamu gagal mendapatkan Aku, kamu akan kehilangan segala-galanya".





Orang yang berada pada tahap ini dia tak perlu takut, jika dia miskin dia tak perlu takut kerana Allah Pemberi rezeki, jika dia sakit dia tak perlu khuatir kerana Allah Maha Penyembuh, jika dia dianiayai kenapa perlu bersedih, ALLAH Maha Pelindung dan seterusnya, seterusnya. Seorang solufussalih pernah berkata: "Saya adalah hamba kepada Allah yang Maha Kaya, aku tidak takut miskin, bagaimana aku takut miskin sedangkan aku hamba kepada Allah Yang Maha Kaya". Biasanya kita bila ada kawan kita tak rasa kesunyian, bila ada segala2-galanya kita rasa aman, tetapi bagi orang mukmin wajib merasai memiliki ketenangan bila ada Yang Mencipta bukan yang dicipta.





Tahap Kesembilan: Ta'abbud





Berasal daripada perkataan 'abdun (hamba) - memperhambakan Telah tulis tentang (hamba di sini)





Orang yang ada Cinta pada tahap ini mempunyai 3 tanda:





1. Dia tidak melihat segala apa yg ada pada tangannya sebagai miliknya kerana pemilik sebenarnya ialah Allah. Dia datang ke dunia tak bawa apa-apa bahkan dirinyapun milik Allah (Inna Lillahi Wainna Ilaihi Raaji'uun).





2. Oleh sebab segala yang ada pada dirinya bukan miliknya, dia memastikan segala apa yang dilakukannya sesuai/selari dengan kehendak pemilik sebenar. Umur, tenaga, anggota, masa, ilmu, kesihatan, rezeki dan segala-galanya adalah milik Allah.





3. Dia tak memastikan dirinya melakukan sesuatu amalan pada masa hadapan melainkan dengan izin Allah. Contoh dia nak pergi ke satu tempat esok pagi, dia kena kata InsyaAlah, tak pernah kata pasti saya akan pergi. Tentang InsyaAllah ni boleh baca di SINI. Ini untuk menunjukkan satu bentuk kenyataan bahawa kita manusia ini lemah, nak pastikan kita bangun pagi pun kita tak dapat, nak pastikan sihat ke dan macam-macam lagi semuanya boleh dilakukan dengan pertolongan Allah semata-mata. Tanpa pertolonganNya segalanya tidak berlaku.





Tahap ke sepuluh: Khullatun (khullah),





Makna asalnya kosong. Sesorang hamba Allah yang mempunyai cinta tahap ini dipanggil Khalilullah kerana cintanya peringkat tertinggi.





Dalam al-Quran Allah panggil Nabi Ibrahim Khalilullah kerana cintanya peringkat tertinggi. Dalam hatinya kosong, yang ada hanya Allah swt. Dia tak rela ada penghalang antara dia dengan Allah. Sekuat mana kasihnya kepada puteranya Ismail, disembelihnya kerana semata-mata menurut arahan Allah. Walaupun hakikatnya tidaklah disembelihnya Ismail itu tetapi Nabi Ibrahim telahpun melakukan perintah Allah dan olehkerana Nabi Ibrahim Dengar dan Taat Allah gantikan dengan seekor kibas. Nabi Ibrahim diberi isteri bernama Siti Hajar yang juga Khullah.





Selepas membaca tahap-tahap kecintaan ini, kita bolehlah menilai diri kita pada tahap manakah CINTA KITA KEPADA ALLAH.. jika ada pada tahap PERTAMA berusahalah untuk naik ke tingkat KEDUA dan seterusnya.. hingga ke peringkat tertinggi yang sama seperti yang dicapai oleh Nabi Ibrahim as.





Semoga kita dapat membina hubungan CINTA kepada Allah supaya cinta kita berbalas. Pasti ada syarat-syaratnya untuk Allah membalas cinta kita.

No comments: