Thursday, January 12, 2012

Asas persahabatan


Asas persahabatan ialah setia dalam bercinta antara satu dengan yang lain dan tulus-ikhlas dalam berkasih-sayang, selagi ia dihalakan kepada Allah dan kerana Allah, maka pahalanya adalah amat besar.

Sabda Rasulullah s.a.w. dalam sebuah Hadis Qudsi:

"Allah telah berfirman: Pasti mendapat kecintaan~Ku bagi dua orang yang sayang-menyayangi kerana~Ku, dua orang yang duduk bersama-sama kerana~Ku, dua orang kunjung-mengunjungi kerana~Ku, dan dua orang yang tolong menolong kerana~Ku."

Sabdanya lagi dalam sebuah Hadis Qudsi yang lain:

"Berfirman Allah Ta'ala di Hari Kiamat: Mana dia orang-orang yang bercinta-cintaan kerana keagungan~Ku. Hari inilah Aku akan menaungi mereka di bawah naungan~Ku; iaitu hari yang tiada naungan selain naungan~Ku."

Sabdanya lagi: "Sesiapa yang ingin merasakan kemanisan iman, hendaklah ia mencintai seseorang, tiada mencintainya melainkan kerana Allah."

Dalam sebuah sabda Rasulullah s.a.w tersebut: Tujuh orang yang akan dinaungi Allah di bawah naungan~Nya, pada hari tiada naungan selain naungan~Nya. Baginda telah menyebut satu persatu orang-orang itu, sehingga katanya: Dan dua orang saling cinta-mencintai kerana Allah, keduanya berkumpul dan berpisah semata-mata kerana Allah.

Apabila seseorang mencintai orang lain, bersahabat dan membiasakan diri dengannya, kerana dilihatnya orang itu mencintai Allah, dan taat-setia kepada perintah Allah, maka hal sedemikian itulah yang dikatakan bercinta-cintaan kerana Allah Ta'ala.

Ataupun jika ia mencintai orang itu dan bersahabat dengannya, kerana orang itu membantunya di dalam selok-belok agama, dan mengarahkannya untuk bertaat-setia terhadap Tuhannya, maka hal sedemikian itu juga dikira bercinta-cintaan kerana Allah.

Ataupun jika ia mencintai orang itu dan bersahabat dengannya, kerana orang itu boleh membantunya dalam urusan keduniaan, yang mana dengannya ia boleh mengurus urusan akhiratnya, maka itu juga termasuk cinta-mencintai kerana Allah.

Ataupun jika ia mencintai orang itu dan bersahabat dengannya, kerana dirinya merasa senang berkawan dengan orang itu, dan dadanya merasa lapang bila duduk bersama-sama dengannya; atau pun barangkali orang itu dapat menolongnya di dalam urusan keduniaannya, dan di dalam hal-ehwal kehidupannya, yang mana menerusinya ia boleh hidup senang-lenang, maka cinta itu adalah cinta tabi'i, cinta biasa yang tidak ada kena-mengena sedikit pun dengan Allah. Persahabatan itu timbul kerana kecenderungan semata-mata, dan meskipun ia tetap harus hukumnya, tidak sunyi dari kebaikan mudah-mudahan.

Adapun jika ia bersahabat kepada seseorang, kerana orang itu boleh menemannya untuk pergi ke tempat maksiat, atau membantunya untuk menganiaya orang, ataupun memimpin dan menunjuknya ke jalan-jalan fasik dan mungkar, maka persahabatan serupa itu dan kecintaan semacam itu adalah persahabatan yang dicela dan kecintaan yang tidak berguna, kerana ia menarik kita ke jalan syaitan, yang tidak ada kena-mengena sedikit pun dengan Allah. Persahabatan dan kecintaan serupa inilah yang akan bertukar menjadi permusuhan di akhirat, malah kadangkala belum sempat tiba di akhirat, di dunia dahulu sudah menjadi porak poranda.

Firman Allah Ta'ala:

الْأَخِلَّاءُ يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلَّا الْمُتَّقِينَ

"Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh)." [QS az-Zukhruf : 67]

Sekian, dipetik daripada
Kitab Nasihat Agama dan Wasiat Iman,
dialihbahasakan dari
Kitab an-Nasha'ih ad-Diniyah wal-Washaaya al-Imaaniyah
karya Imam Habib Abdullah Haddad,
oleh Ustaz Syed Ahmad Semait.


"Kamu dikira jahil jika cemburu pada suami atau isterimu tetapi tak pernah cemburu pada imanmu sendiri. Kamu cemburu pada suami atau isterimu kerana hawa nafsu dan syahwat, sementara kamu tidak cemburu pada kalbumu kerana Tuhan. Kalau kamu dapat menjaga apa yang menjadi hakmu, mengapa kamu tidak menjaga apa yang menjadi hak Allah?"
[ Imam Ibnu 'Athaillah As-Sakandari r.a.


TIDUR YANG SUNAT DI KEJUTKAN



♥ TIDUR YANG SUNAT DI KEJUTKAN ♥

Mengejutkan orang yang tidur disunatkan sekiranya orang itu tidur dalam keadaan berikut:
Pertama:
seorang yang tidur di masjid dan waktu solat sudah tiba.
Ini berdasarkan hadis Abu Bakrah ra, beliau berkata:
خرجت مع النبي صلى الله عليه وسلم لصلاة الصبح فكان لا يمر برجل إلا ناداه بالصلاة أو حركه برجله
“ Aku keluar bersama Nabi saw untuk menunaikan solat subuh. Beliau tidak lalu pada mana-mana lelaki melainkan akan menyerunya untuk solat atau menggeraknya untuk solat dengan kakinya.” (Hr Abu Daud 1246 – semua perawinya thiqah)

Kedua:
Orang yang tidur dihadapan orang yang solat
kerana menggangu orang yang solat.

Ketiga:
Tidur diatas permukaan bangunan tanpa penghadang.
Rasulullah saw bersabda:
من بات على ظهر بيت ليس له حجار فقد برئت منه الذمة
“Sesiapa yang tidur diatas permukaan bangunan tanpa ada penghadang (dari jatuh bangunan), sesungguhnya telah terlepas dari tanggungjawab mana-mana pihak (sekiranya jatuh). (Hr Abu Daud – semua perawinya adalah thiqah)

Keempat:
Tidur dalam keadaan separuh badan terkena cahaya matahari dan setengah lagi tidak kena.
Nabi saw bersabda:
إذا كان أحدكم في الشمس فلقص عنه الظل وصار بعضه في الشمس وبعضه في الظل فليقم
“Apabila salah seorang kamu berada di bawah pancaran matahari, kemudian matahari menaik dan sebahagian tubuh mu terkena pancaran matahari dan sebahgian yang lain tidak kena , hendaklah dia beredar.” (Hr Abu Daud – semua perawinya thiqah)

Kelima:
Tidur waktu subuh.
Nabi saw bersabda:
الصبحة تمنع الرزق
“Tidur subuh menegah rezki.” (Hr Ahmad – sanad lemah)
Umar bin Abdul Aziz apabila melihat anaknya sedang tidur waktu subuh, beliau mengejutkannya dan berkata:
الأرزاق تقسم وأنت نائم
“Rezeki dibahagi2kan sedangkan engkau tidur.”

Keenam:
Tidur sebelum isya
kerana makruh tidur waktu itu. Ini disebut dalam hadis yang panjang, riwayat dari Abi Bakrah ra dimana beliau berkata:
كان يكره النوم قبلها والحديث بعدها
“Baginda tidak suka tidur sebelum solat isya dan sembang-sembang selepasnya.” (Hr Bukhari – sahih)

Ketujuh:
Tidur lepas solat asar.
Nabi saw bersabda:
من نام بعد العصر فاختلس عقله فلا يلومن إلا نفسه
” Sesiapa yang tidur selapas solat asar dan hilang akalnya , janganlah dia mencela melainkan dirinya.” (Hr Abu Ya’la – Sanad lemah)

Kelapan:
Tidur berseorangan di rumah.
Hukum ini disebut oleh al-Hulaimi dalam kitabnya al-Minhaj Fi Syu’abil Iman.

Kesembilan:
Perempuan yang tidur menelentang.
Ini kerana ianya makruh seperti yang disebut dalam kitab yang sama.
Umar bin Abdul Aziz telah menegah anaknya yang tidur sedemikian.

Kesepuluh:
Seseorang yang tidur meniarap.
Baginda melihat seorang lelaki meniarap. Lalu baginda bersabda:
إن هذه ضجعة يبغضها الله ورسوله
Maksudnya: “Sesungguhnya ini adalah cara baring yang dimurkai oleh Allah dan Rasulnya.” (Hr Tirimizi dan Ahmad-hasan lighairihi)
Abu Umamah r.a berkata: Nabi s.a.w lalu dekat seorang lelaki yang tidur meniarap di Masjid. Lalu baginda memukulnya dengan kakinya dan berkata:
قم واقعد فإنها نومة جهنمية
Maksudnya: “Bangunlah kamu dari tidur dan duduklah sesungguhnya ini adalah cara tidur ahli neraka jahannam.” (Hr Ibnu Majah)

Kesebelas:
Mengejutkan orang tidur untuk bangun qiamullail.
Nabi saw bersabda:
رحم الله رجلا قام من الليل فصلى وأيقظ امرأته فإن أبت نضح في وجهها الماء رحم الله امرأة قامت
من الليل فصلت وأيقظت زوجها فإن أبى نضحت في وجهه الماء
“Allah merahmati lelaki yang bangun malam, menunaikan solat dan mengejutkan isterinya. Sekiranya isterinya enggan, dia akan merenjiskan air pada muka isterinya. Allah merahmati wanita yang bangun malam, menunaikan solat dan menegejutkan suaminya. Sekiranya suaminya enggan, dia akan merenjis air ke muka suaminya. (Hr Abu Daud 1308 – perwai2nya thiqah)

Ke dua belas:
Mengejutkan orang yang tidur untuk bangun sahur.
Nabi saw bersabda:
إن بلالا ينادي بليل فكلوا واشربواحتى ينادي ابن مكتوم

“Sesungguhnya bilal akan mengumandangkan azan pada waktu malam (sebelum subuh), maka makanlan dan minumlah sehingga Ibnu Maktum mengumandangkan azan subuh.” (Hr Muslim)

BERIBADAT 500 TAHUN TIDAK MENJANJIKAN SYURGA



♥ BERIBADAT 500 TAHUN TIDAK MENJANJIKAN SYURGA ♥

Dari Jabir r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah memberitahu kami bahawa Malaikat Jibrail telah memberitahu Rasulullah s.a.w katanya, "Wahai muhammad demi Allah yang mengutusmu sebagai nabi yang besar, sesungguhnya ada seorang hamba Allah yang beribadat selama 500 tahun diatas sebuah bukit yang lebar, panjang bukit itu 30 puluh hasta dan lebarnya 30 hasta dan disekelilingnya ialah air laut yang seluas 4,000 farsakh dari tiap penjuru".

Dan di situ Allah s.w.t mengeluarkan air selebar satu jari dan dari bawah bukit dan Allah s.w.t juga telah menghidupkan sebuah pohon delima yang setiap hari mengeluarkan sebiji buah delima. Apabila tiba waktu petang hamba Allah itu pun memetik buah delima itu dan memakannya, setelah itu dia pun sembahyang. Dalam sembahyang, dia telah meminta kepada Allah s.w.t. supaya mematikannya ketika dia dalam sujud, supaya badannya tidak disentuh oleh Bumi atau apa-apa saja sehingga tibanya hari berbangkit. Maka Allah s.w.t. pun menerima permintaanya.

Berkatalah malaikat lagi, "Oleh itu setiap kali kami naik turun dari langit kami melihatnya sedang sujud, kami mendapat tahu bahawa dia akan dibangkitkan pada hari kiamat dan dihadapkan kepada Allah s.w.t. lalu Allah s.w.t. menyuruh Malaikat: "Masukkanlah hambaku itu ke dalam syurga dengan limpah rahmatku". Maka berkata orang itu, "Dengan disebabkan amalku?" Maka Allah s.w.t. menyuruh malaikat menghitung semua amalnya dengan nikmat yang Allah s.w.t. berikan. Apabila penghitungan dibuat maka amal yang dibuat oleh orang itu selama 500 tahun itu telah habis apabila dikira dengan sebelah mata, iaitu nikmat pengelihatan yang Allah s.w.t. berikan padanya, sedangkan nikmat-nikmat lain belum dikira.

Maka Allah s.w.t. berfirman, "Masukkan dia ke dalam neraka". Apabila dia ditarik ke neraka maka dia pun berkata," Ya Allah, masukkanlah aku ke dalam syurga dengan rahmatmu. "Lalu Allah s.w.t. berfirman kepada malaikat, "Bawakan dia ke mari". Kemudian Allah s.w.t. bertanya orang itu, "Siapakah yang menjadikan kamu daripada tidak ada". Lalu orang itu menjawab, "Engkau ya Allah". Kemudian Allah s.w.t. bertanya lagi, ”Apakah itu kerana amalmu atau rahmatku?”. Jawab orang itu, "Ya Allah, dengan rahmatmu.” Allah s.w.t. bertanya lagi, "Siaapakah yang memberikan kekuatan sehingga 500 tahun kamu beribadat?". Jawab orang itu, "Engkau ya Allah". Allah s.w.t. bertanya lagi, "Siapakah yang menempatkan kamu diatas bukit yang di tengah-tengah lautan, dan siapakah yang mengeluarkan air tawar yang bersih dari tengah-tengah lautan yang airnya sangat masin dan siapakah yang menumbuhkan sebuah pohon delima yang mengeluarkan sebiji delima setiap hari, padahal buah itu hanya berbuah setahun sekali lalu kamu meminta supaya aku matikan kamu dalam sujud, jadi siapakah yang membuat semua itu?"

lalu orang itu berkata, "Ya Allah, ya Tuhanku engkaulah yang melakukanya." Allah s.w.t. berfirman, "Maka semua itu adalah dengan rahmatku dan kini aku masukkan kamu ke dalam syurga juga adalah dengan rahmatku." Malaikat Jibrail berkata, "Segalaa sesuatu itu terjadi hanya dengan rahmat Allah s.w.t".

Amal yang dibuat oleh seseorang itu tidak akan dapat menyamai walaupun setitik debu sekalipun dengan nikmat yang Allah s.w.t. berikan pada hambanya, oleh itu janganlah mengharapkan amal kita itu akan dapat memasukkan kita ke dalam syurga Allah s.w.t. sebaliknya mohonlah dengan rahmatnya.

Kerana hanya dengan rahmat Allah s.w.t. sajalah seseorang itu dapat memasuki syurganya. Apabila kita memohon kepada Allah s.w.t. supaya dimasukkan ke dalam syurga dengan rahmatnya maka mintalah supaya Allah s.w.t. memasukkan kita dengan rahmatnya ke dalam Syurga Firdaus.

Masuk Syurga itu terletak pada rahmat Allah, dengan melakukan apa yang diperintahkannya dan menjauhi dari segala apa larangannya mendekatkan kita pada RahmatNya. Jangan sesekali kita angkuh dengan amal ibadah dan ilmu yang kita ada namun hendaklah kita sentiasa bersyukur, ikhlas dan sentiada merendah diri kerana tiap suatu nikmat atau dugaan datang daripada Allah.